Penyelaras dilantik ketika Ahli Parlimen masih sah

KUALA LUMPUR 6 Ogos  – Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri,  Azman Abidin dilantik sebagai Penyelaras Parlimen Ampang walaupun Ahli Parlimen kawasan itu, Rodziah Ismail masih anggota PKR cabang Shah Alam yang sah.

Pelantikan itu bertujuan memastikan penyampaian bantuan dan perkhidmatan kepada masyarakat di Parlimen Ampang dapat dijalankan secara lebih tersusun, cekap dan berkesan.

Azman akan menyelaras usaha bersama Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) dan agensi kerajaan berkaitan bagi memastikan setiap inisiatif dapat disampaikan kepada rakyat dengan lebih berkesan.

“Penyampaian bantuan ini juga akan dikoordinasikan secara rapat bersama Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Parlimen Ampang, pemimpin masyarakat serta pihak-pihak berkaitan,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Beliau berkata, sebarang permohonan bantuan berhubung kebajikan rakyat di kawasan Parlimen Ampang boleh dikemukakan secara terus kepada Pejabat Setiausaha Politik Perdana Menteri untuk tindakan penyelarasan selanjutnya.

Terdahulu, Rodziah dalam kenyatannya mendakwa pusat khidmatnya tidak lagi dibenarkan mengakses sistem MyKhas yang digunakan untuk menguruskan peruntukan pembangunan kawasan.

Beliau berkata, perkembangan itu menjejaskan pengurusan dan penyaluran peruntukan bagi menyediakan pelbagai bantuan dan sokongan di samping melaksanakan pelbagai program kemasyarakatan dan keraian serta kerja-kerja infra di bawah kerangka Projek Mesra Rakyat (PMR) yang selama ini memberi manfaat besar buat warga Parlimen Ampang.

“Anehnya, sehingga saat ini, saya kekal anggota PKR cabang Shah Alam yang sah.
Saya tidak pernah mengisytiharkan keluar parti atau menyokong, jauh sekali menyertai mana-mana parti lain, tidak pernah meletakkan jawatan sebagai anggota PKR,” katanya.

Rodziah berkata, beliau juga tidak pernah menyertai mana-mana parti politik lain serta tidak pernah menentang apa jua undang-undang dan dasar kerajaan Perpaduan yang dibahaskan di Parlimen, selaras dengan mandat yang diberikan oleh rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Sesungguhnya, saya galau memikirkan apakah rasional atau alasan sebenar Parlimen Ampang dibekukan peruntukan kawasan secara tiba-tiba tanpa sebarang penjelasan.

“Sekiranya kejanggalan ini berpunca daripada isu teknikal atau pentadbiran, maka saya berhak diberi pencerahan yang telus dan terbuka di samping ditawarkan penyelesaian dengan kadar segera,” katanya.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung dan Ahli Parlimen Subang, Wong Chen yang dikaitkan dengan bekas Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, turut dilaporkan disekat akses sistem berkenaan.

Mengulas lanjut, Rodziah berkata sekiranya keputusan Unit Penyelarasan Perlaksanaan – Jabatan Perdana Menteri (ICU-JPM) itu disabitkan dengan kehadirannya dalam satu program pada 17 Mei lalu di Petaling Jaya, perkara itu sudah dijelaskan secara rasmi kepada Lembaga Disiplin PKR bertarikh 23 Jun lalu.

“Penjelasan sebagai respons terhadap notis bertarikh 16 Jun itu belum mendapat sebarang jawapan sehingga hari ini.

“Lebih aneh, enam Ahli Parlimen pembangkang daripada Bersatu terus menerima peruntukan kawasan selepas menyatakan sokongan kepada kerajaan Perpaduan.

Manakala beberapa Ahli Parlimen kerajaan malah anggota Kabinet sendiri daripada BN bebas dan lantang membuat teguran malah serangan secara terbuka terhadap kerajaan perpaduan tanpa sebarang impak terhadap peruntukan kawasan, memberi persepsi seolah-olah menikmati kekebalan dan keistimewaan politik,” katanya.

Beliau berkata, walaupun bukan niatnya mempertikaikan hak dan kelebihan mana-mana ahli Parlimen dalam aspek peruntukan kawasan, fenomena ini jelas bertentangan dengan salah satu janji dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) PRU15 .

“Pada muka surat 42 terkait penyaluran peruntukan pembangunan kawasan secara adil kepada semua Ahli Parlimen tanpa mengira parti politik, melalui institusi parlimen dan bukannya Pejabat Perdana Menteri.

“Janji berkenaan bukan sekadar komitmen pilihan raya, malah mencerminkan semangat reformasi institusi yang diperjuangkan PH sekian lama,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment