Pupuk mentaliti menang menjelang 2027

KUALA LUMPUR 10 Jun –  Kepemimpinan dan ahli UMNO di pelbagai peringkat perlu memupuk mentaliti untuk menang bagi memastikan parti kembali ke landasan tepat, sekurang-kurangnya menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) pada 2027.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata ia perlu disusuli penyusunan strategi untuk memulihkan sokongan terhadap parti terutama dalam tempoh kurang lima tahun dari sekarang.

Beliau yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan berkata, UMNO memiliki infrastruktur terbesar dalam arena politik tanah air membabitkan 191 bahagian, 3.5 juta ahli dan 21,000 cawangan, berbanding parti lain.

Beliau menegaskan, komitmen berkenaan tidak mustahil untuk dicapai jika semua pihak memupuk mentaliti untuk menang dan sayang kepada parti.

“Mentaliti untuk menang ini kita kena berfikir, bercakap dan bertindak seperti orang yang mahukan kemenangan.

“Mentaliti ini sangat penting, bukan sahaja kepada Top 5 (kepemimpinan lima tertinggi), Majlis Kerja Tertinggi (MKT) atau ketua bahagian, sebaliknya perlu sampai ke seluruh peringkat cawangan,” katanya.

Ahli Parlimen Titiwangsa ketika menggulung ucapan dasar Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung parti itu juga pada masa yang sama menegaskan, bahawa untuk menang tiga faktor memainkan peranan iaitu parti, calon serta jentera.

“Kalau kita tiada parti bagus, agak sukar (untuk menang) sebab (lihat saja) Tun Dr Mahathir Mohamad (sebagai contoh) yang pernah menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun, kemudian 22 bulan.

“Beliau (menang ketika bersama UMNO) bagaimanapun kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kerana Pejuang tidak dikenali.

“(Justeru) Barisan Nasional (BN) kalau kita jaga, ia salah satu langkah untuk menang,” katanya.

Related posts

Leave a Comment