SEPANG 6 OgosĀ – Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat Keadilan hari ini melantik Naib Presiden Saifuddin Nasution Ismail menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden secara sementara.
Pelantikan itu dibuat susulan penyandang, Nurul Izzah Anwar diberi cuti bermula selepas Kongres Nasional 2026 sehingga satu tarikh yang akan diumumkan.
Terdahulu MPP membincangkan permohonan Nurul Izzah untuk mengundurkan diri dari jawatan Timbalan Presiden.
“Namun setelah mendengar pandangan Nurul Izzah dan pimpinan, MPP bersetuju untuk memberi cuti sementara kepada Nurul Izzah,” kata Ketua Penerangan Keadilan Fahmi Fadzil.
Dalam kenyataannya, beliau juga memaklumkan bahawa
Pengarah Pilihanraya Keadilan digalas sepenuhnya oleh Naib Presiden Amirudin Shari.
“MPP juga menerima dan menghormati keputusan Pilihan Raya Negeri Johor dan Negeri Sembilan.
Parti juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada pasukan yang telah bekerja bertungkus lumus sewaktu dua PRN itu serta merakamkan penghargaan kepada Datuk Seri Utama Aminuddin Harun, mantan Menteri Besar Negeri Sembilan di atas perkhidmatan yang cemerlang sepanjang dua penggal yang lalu,” kata Fahmi.
Mengenai Kongres Nasional 2026, Nurul Izzah akan merasmikan Kongres Wanita dan Angkatan Muda Keadilan pada 14 Ogos 2026.
MPP turut meluluskan 3,533 orang anggota baharu bagi tempoh 12 Julai sehingga Ogos 2026, yang telah mendaftar secara dalam talian.
