BN Melaka mahu pertahan 21 kerusi

KUALA LUMPUR 6 Ogos – Barisan Nasional (BN) terbuka untuk mengadakan persefahaman dengan mana-mana pihak walaupun berhasrat mempertahankan semua 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disandang gabungan itu di Melaka.

Pengerusi BN, Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata Pengerusi BN negeri, Ab Rauf Yusoh berazam mempertahankan semua kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) tidak lama lagi.

“Daripada 28 kerusi (DUN) di Melaka, maka Ketua Menteri, selaku Pengerusi BN Melaka, memaklumkan kepada saya bahawa beliau berazam untuk mempertahankan kedudukan seluruh 21 kerusi yang dimenangi itu.

Pasti akan ada musyawarah antara semua pihak dan seperti dinyatakan oleh Ketua Menteri Melaka, beliau sangat terbuka dan kami kepimpinan BN di peringkat pusat akan dirundingi untuk menjadi kata pemutus kepada sebarang persepakatan atau persefahaman yang akan dicapai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO juga berharap gelombang biru dapat merebak ke seluruh Semenanjung susulan kemenangan BN pada pilihan raya Johor dan Negeri Sembilan.

“Bermula dari Johor menjalar ke Negeri Sembilan dan insya-Allah ke Melaka, kita lihat bagaimana geopolitik di negara kita menjelang PRU ke-16 (Pilihan Raya Umum Ke-16).

“Kita sebagai sebuah parti gabungan tetap berazam untuk merangkul dukungan daripada semua rakyat yang mungkin mahu merubah cita rasa politik,” katanya.

Sama ada gelombang itu akan membabitkan warna biru pekat yang dikaitkan dengan Perikatan Nasional (PN), beliau berkata, ia bergantung pada keikhlasan dan kejujuran mereka.

“Ia bergantung kepada keikhlasan dan kejujuran mereka di dalam sebarang rundingan yang akan dilakukan. Kita sudah tetapkan di mana kerusi yang kita menang. kita tidak akan kongsi kerusi itu dengan mana-mana pihak,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment