Politeknik swasta selaras inisiatif TVET

KUALA LUMPUR 10 Jun – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mempertimbangkan penubuhan politeknik swasta selaras dengan inisiatif KPT yang sedang meletakkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan pengajian politeknik setanding universiti.

Menteri berkenaan, Mohamed Khaled Nordin berkata, politeknik itu yang diterajui pihak industri adalah bagi meningkatkan kualiti dan nilai kebolehpasaran graduan TVET di negara ini.

Naib Presiden UMNO itu berkata, TVET ini bukan sahaja tentang kemahiran vokasional dan teknikal tetapi keupayaan mengendalikan teknologi, ia mesti dipersembahkan sebagai saluran masa depan yang bernilai cerah.

Katanya, antara yang sedang diusahakan termasuklah membuka lima Pusat Asasi TVET yang akan menjadi saluran terus kepada semua universiti teknikal di seluruh negara bermula tahun ini.

“Kolej-kolej komuniti di seluruh negara pula akan membuka ruang untuk masyarakat mengikuti kursus-kursus Pembelajaran Sepanjang Hayat tanpa perlu apa-apa kelayakan awal,” katanya ketika menggulung ucapan dasar Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Pusat Dagangan Dunia di sini hari ini.

Beliau juga memberitahu, semua lulusan diploma daripada politeknik akan berpeluang memindahkan kredit dan melompat terus ke tahun kedua sekiranya menyambung pengajian di universiti-universiti teknologi dan teknikal.

“Agenda pemerkasaan TVET adalah penting dalam memastikan ia menjadi bidang fokus dan pilihan di negara ini… kita kini di landasan yang betul,” katanya sambil akan bekerjasama dengan kementerian lain dalam usaha menyediakan ekosistem pendidikan tinggi yang bersifat promahasiswa.

Katanya, sebagai wakil UMNO di dalam kerajaan, satu daripada fokusnya ialah memperjuangkan disiplin Pengajian Melayu yang melibatkan aspek masyarakat, ekonomi, pendidikan dan teknologi Melayu.

Related posts

Leave a Comment