Tidak timbul isu DAP mohon maaf kepada UMNO

KUALA LUMPUR 8 Jun – Isu permohonan maaf daripada DAP kepada UMNO seperti yang dibangkitkan Ketua Pemuda, Dr Muhammad Akmal Salleh, tidak perlu lagi ditimbulkan, kata Presiden UMNO Dr Ahmad Zahid Hamidi

Timbalan Perdana Menteri berkata, ini kerana sudah ada persetujuan bersama dicapai di antara UMNO dan Pakatan Harapan (PH) ketika rundingan kerjasama dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan yang turut membabitkan DAP diadakan.

“Mereka (DAP) sudah nyatakan perkara ini beberapa kali, malah dalam perundingan kita untuk membentuk kerajaan ini pun bukan perkara itu yang menjadi syarat utama kepada kita.

Mereka bersetuju 100 peratus (dalam rundingan kerjasama) serta tidak perlu kita ulangi perkara yang telah mereka persetujui,” katanya ketika sidang media selepas melawat Laman Media sempena Perhimpunan Agung UMNO 2023, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pemuda UMNO yang menuntut DAP membuat permohonan maaf secara terbuka atas semua kata-kata dan tohmahan yang pernah dilemparkan kepada UMNO sehingga mengguris hati semua ahli parti itu hingga kini.

Ketua Pemuda itu dalam ucapan pembukaan Persidangan Pemuda UMNO pagi ini berkata, jika DAP boleh membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebelum ini, mengapa tidak kepada UMNO.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) turut meminta ahli UMNO tidak terbuai dengan permainan pihak yang memang tidak senang dengan kewujudan Kerajaan Perpaduan yang kini semakin stabil.

Katanya, pembentukan Kerajaan Perpaduan ini adalah persetujuan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dengan PH.

Mengenai penerimaan akar umbi atas kerjasama dengan UMNO bersama DAP dan PKR, beliau berkata, keserasian antara parti semakin bertambah dan di peringkat akar umbi, UMNO mempunyai kaedah tertentu untuk melakukan penjelasan mengenai kerjasama itu.

Katanya, penjelasan itu sudah dimulakan dan dalam sesi taklimat dengan Ketua Penerangan semalam, perkara itu sudah dijelaskan.

“Setiausaha Agung (Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki) sudah memberikan penjelasan secara kronologi mengenai perkara itu.

“Perkara ini sudah tidak timbul lagi dan di dalam taklimat Presiden pun saya sudah menyebutnya dan malam tadi Timbalan Presiden pun menyebut perkara sama. Saya fikir sudah berlaku pencerahan yang sangat jelas dalam hal ini,” katanya.

Mengulas kegusaran akar umbi mengenai kerjasama dengan DAP itu menyebabkan tindakan memboikot PRN, katanya, perkara itu akan ditangani secara dalaman.

Ahmad Zahid yang ditanya mengenai ura-ura berlaku gerakan boikot UMNO oleh akar umbi parti pada pilihan raya negeri (PRN) kerana tidak bersetuju dengan kerajasama bersama DAP, menegaskan isu itu akan diselesaikan secara dalaman.

Related posts

Leave a Comment