DUN Pulau Pinang bubar 28 Jun

TANJONG 8 Jun – Pulau Pinang akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 28 Jun ini bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri (PRN), kata Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

“Kami mencadangkan agar DUN dibubarkan pada 28 Jun ini. Kami akan mengatur dengan sewajarnya,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Pada Februari lalu, Ketua Menteri Pulau Pinang bersama Menteri Besar Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Selangor dan Terengganu, semua bersetuju untuk membubarkan DUN masing-masing dalam tempoh dua minggu terakhir Jun.

PRN pula dicadangkan dilaksanakan serentak bagi mengurangkan kos. Persefahaman itu dicapai pemimpin negeri dalam satu mesyuarat tidak rasmi.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh dilapor berkata, langkah itu akan membantu SPR menyelaraskan penempatan tenaga kerjanya dengan lebih baik di enam negeri.

Katanya lagi, SPR menganggarkan kos untuk menjalankan pilihan raya di enam negeri itu berjumlah RM450 juta.

Semalam, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata DUN negeri itu akan dibubarkan pada 30 Jun, manakala Terengganu juga dijangka mengambil langkah sama pada hujung bulan ini.

Related posts

Leave a Comment