KUALA LUMPUR 8 Jun – Yang Dipertua Dewan Rakyat, Johari Abdul, menolak usul persendirian untuk meminda Akta Tafsiran 1948 dan 1967 (Akta 388) bagi memuktamadkan tafsiran dan penggunaan kalimah Allah di negara ini.
Usul itu dikemukakan Zulkifli Ismail (PN-Jasin) pada 25 Mei lalu, yang antara lain mencadangkan supaya kalimah Allah dimasukkan dalam akta itu dan tafsirannya bersandarkan pada Surah Al-Ikhlas.
Menurut Zulkifli, usul itu mencadangkan supaya Seksyen 66 Akta 388 dipinda dengan memasukkan makna, terjemahan dan tafsiran kalimah Allah yang selaras dengan Surah Al-Ikhlas.
Berdasarkan surah itu, katanya, kalimah Allah perlulah ditafsirkan sebagai Tuhan yang esa, tempat meminta segala sesuatu, tidak mempunyai anak dan tidak pula diperanakkan, serta tidak ada sesuatu yang setara dengan-Nya.
“Sebarang makna dan terjemahan tafsiran yang selain daripada ini adalah batal dan tidak sah,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.
Ditanya sama ada cadangan pindaan Akta 388 itu akan menghalang golongan bukan Islam di Malaysia menggunakan kalimah Allah, Zulkifli memaklumkan RUU 388 itu memperincikan makna, terjemahan, tafsiran dan penggunaan kalimah Allah dalam mana-mana penerbitan.
“Pindaan ini membolehkan menteri berkenaan menggunakan Seksyen 7 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301) untuk mengeluarkan perintah melarang apa-apa penerbitan yang mengguna pakai kalimah Allah, yang boleh membawa makna, terjemahan dan tafsiran yang berbeza dengan tafsiran dalam RUU ini,” katanya.
Ditanya alasan penolakan usul persendirian itu, Zulkifli meminta soalan itu diajukan kepada Speaker Dewan Rakyat.
Susulan penolakan usul persendirian berkenaan, Ahli Parlimen Jasin itu memohon perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk menerima Ahli Parlimen PN mengadap baginda bagi memberi penjelasan mengenai RUU berkenaan.
Sementara itu, Ketua Pembangkang yang juga Ahli Parlimen Larut, Hamzah Zainuddin, memaklumkan PN akan mencari waktu sesuai sebelum memohon perkenan untuk mengadap Sultan Selangor.
“Kita nak jelaskan usul ini kerana kami berpandangan melalui pindaan Akta 388, ia antara cara untuk memastikan kalimah Allah tidak disalahgunakan.
“Sesiapa saja boleh guna, tapi biarlah dengan tafsiran yang betul. Kalau semua pihak faham kalimah Allah mengikut tafsiran yang ada dalam undang-undang, mudah untuk diterima pakai semua pihak dalam negara,” katanya
