Konglomerat sumbang pembangunan negara

KUALA LUMPUR 2 Jun – Perdana Menteri,  Anwar Ibrahim menyeru lebih banyak syarikat konglomerat di negara ini menyumbang ke arah pembangunan negara dan masyarakat.

Beliau mengambil contoh sumbangan Pengerusi Yayasan Albukhary,  Syed Mokhtar Albukhary, yang bukan hanya ke arah memperkasakan ekonomi rakyat, tetapi juga dalam menyokong pembangunan bidang seni dan sastera.

Sumbangan dan dukungan itu seharusnya menyamai usaha mereka dalam menyokong bidang lain seperti pendidikan.

“Sepertimana saya gesa ada usaha dalam pelbagai bidang pendidikan dan seni teater, ada usaha untuk (konglomerat) mendukungnya.

“Kalau kita ada 30 konglomerat (dan mereka) ini boleh beri sokongan dalam pelbagai bidang, itu akan memperkayakan (memanfaatkan) seni, sastera, budaya pendidikan dan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pameran Lukisan Orientalis: Cerminan atau Bayangan? di Muzium Kesenian Islam Malaysia , di sini hari ini, yang turut dihadiri Syed Mokhtar.

Pameran itu adalah sebuah kisah hubungan antara Eropah, Amerika dengan dunia Timur yang diterokai Muzium Kesenian Islam Malaysia sejak 15 tahun lalu, dengan koleksi lukisan dari abad ke-19 dan awal abad ke-20 ini belum pernah diperlihatkan di luar Eropah, mahupun Amerika.

Muzium Kesenian Islam Malaysia antara pemilik koleksi lukisan orientalis terbesar di dunia.

Anwar menyifatkan pameran ini wajar menjadi medium untuk mengangkat karya seni dan sastera, di samping memberi kefahaman kepada rakyat secara mendalam mengenai makna seni lukisan itu sendiri.

“Supaya (pameran ini) dapat dihebahkan. Ramai tidak tahu bahawa tentang pameran ini agak unik, sebab belum dapat dihebahkan, dipersembahkan di mana-mana negara dunia melainkan di Muzium London, itu pun skala kecil.

“Skala besarnya, ini terbesar yang pernah diadakan di dunia. Jadi ini wajar kepada masyarakat untuk menggunakan peluang ini. Kalau tempat lain itu kosnya terlalu tinggi,” katanya.

Sementara itu dalam catatan Facebooknya, Anwar menyeru para pendidik dan ibu bapa untuk menggunakan peluang pameran seperti ini mendedahkan para pelajar dan mahasiswa karya-karya besar hasil daripada hati nurani yang dilakar dalam bahasa atau lukisan yang indah.

“Terima kasih kepada Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary dan pengurusan Muzium Kesenian Islam Malaysia atas undangan ini. Semoga usaha mengangkat karya seni yang unik ini untuk tatapan dan manfaat untuk masyarakat awam,” katanya.

Related posts

Leave a Comment