PUTRAJAYA 21 Nov. – Sebanyak 327 kluster telah dilaporkan dan hari ini, terdapat tiga lagi kluster baharu menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 168 kluster.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 36 kluster melaporkan pertambahan kes. Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Teratai (299 kes), Kluster Hentian (79 kes), dan Kluster Tapak Bina Damanlela (43 kes).
Sebanyak dua kluster telah tamat pada hari ini iaitu Kluster Bah Kayu dan Kluster Lekir. Ini menjadikan jumlah kluster tamat adalah sebanyak 159 kluster.
Tiga kluster baharu yang dikenal pasti pada hari ini adalah:
- PENJARA JALAN HARAPAN
Kluster ini melibatkan Penjara Sungai Buloh, Selangor. Kes-kes bagi kluster ini dikesan positif Covid-19 hasil saringan kemasukan tahanan ke penjara pada 17 November 2020. Sehingga 21 November 2020, sejumlah 113 individu disaring, di mana 17 kes dikesan positif.
- KLUSTER KOTA KECIL
Kluster ini melibatkan daerah Kota Tinggi, Johor. Kes indeks (iaitu kes ke- 47390) dikesan positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 15 November 2020. Sehingga 21 November 2020, sejumlah 467 individu disaring, di mana sembilan kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini. Kesemua kes dimasukkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang.
- KLUSTER SKY COKLAT
Kluster ini melibatkan daerah Labuan, Wilayah Persekutuan Labuan. Kes indeks (iaitu kes ke-51581) dikesan positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 19 November 2020. Sehingga 21 November, sejumlah 51 individu disaring, di mana tujuh kes dikesan positif. Kesemua kes dimasukkan ke Hospital Labuan.