KUALA LUMPUR 2 Jun – Anwar Ibrahim menyifatkan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang, cuba memesong pemikiran rakyat selepas mendakwa Pakatan Harapan (PH) tidak sesuai memimpin kerajaan kerana dikuasai bukan Melayu.
Perdana Menteri menegaskan, perkara sedemikian tidak seharusnya timbul memandangkan tumpuan kerajaan kini untuk merangka dasar yang dapat memanfaatkan negara dan pada masa sama mempertahan hak Melayu dan Islam.
“Tanya dia di mana bahasa, budaya, Islam, seni, sastera yang kita lakukan khianat. Negara ini pelbagai kaum, sementara kita angkat penghayatan Islam, kita kena jaga hak semua kaum yang perlu dipelihara.
“Saya tidak cenderung untuk rakyat terus dipesongkan dengan sentimen seperti ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Orientalism Paintings di Muzium Kesenian Islam di sini.
Hadir sama, tokoh korporat terkemuka, Syed Mokhtar Albukhary.
Semalam Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang mendakwa kerajaan sedia ada lemah kerana tidak diterajui parti Melayu Islam untuk memimpin Malaysia yang majoriti rakyatnya Melayu dan beragama Islam.
Anwar berkata, Abdul Hadi dilihat cuba membawa naratif politik kolot dan jumud.
“Dia kira tak betul, dia perlu buat kiraan yang betul. Apa yang penting bukan soal jumlah majoriti (kaum) atau tidak, yang penting dasar yang kita tinggalkan ini, apa yang kita khianat orang Melayu.
“Yang kita curi tanah Melayu, curi saham, yang curi projek-projek, jangan gunakan politik kolot dan jumud. Yang tak dijawab mengapa sekarang kita boleh ambil tindakan tegas, hentikan rompakan (wang rakyat),” katanya.
Perdana Menteri berkata, kerajaan dan pembangkang seharusnya menumpukan kepada usaha untuk mempertahankan Perlembagaan serta kedudukan Islam, membasmi kemiskinan dan paling utama ialah menghentikan amalan guna kuasa dan kedudukan.
“Saya tahu ada kalangan pembesar, tokoh lama dia kata buat apa mahu dikorek yang lama-lama. Bukan saya korek, harta rakyat mesti dipulangkan.
“Kalau lihat naratif yang lama-lama, dalam kalangan orang yang ada kes, kalau diteliti betul-betul.. dia takut. Kamu sudah ambil, pulangkan balik.
“Bagi saya apa yang perlu, kita pertahankan Perlembagaan, kita tingkatkan makna bahasa dan budaya, Islam, membasmi kemiskinan dan hentikan amalan guna kuasa dan kedudukan. Ini yang patut ditekankan Kerajaan Perpaduan dan pembangkang,” katanya.
