Raja Nurshirwan Ketua Pengarah MKN

PUTRAJAYA 30 Mei –  Raja Nurshirwan Zainal Abidin dilantik sebagai Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Mohd Zuki Ali, berkata Raja Nurshirwan berpengalaman luas dalam perkhidmatan awam dengan pengkhususan kepada hubungan antarabangsa.

Beliau menggantikan Rodzi Md Saad yang dilantik sebagai Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) menggantikan Dr Yusof Ismail.

Raja Nushirwan, pernah ditempatkan di pelbagai negara termasuk Amerika Syarikat, Sweden, Singapura dengan jawatan terakhir beliau adalah sebagai Duta Besar di Kedutaan Besar Malaysia di Beijing, Republik Rakyat China.

“Semoga pelantikan beliau sebagai Ketua Pengarah MKN akan memacu kecemerlangan MKN dalam menerajui penggubalan dasar dan pengurusan keselamatan negara secara komprehensif, bersepadu dan berkesan dalam memastikan negara kekal aman, sejahtera serta berdaulat,” kata Mohd Zuki dalam kenyataan hari ini.

Raja Nushirwan, 53, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Abertay, Dundee, Scotland.

Beliau memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 21 Mac 1994 dan ditempatkan di Kementerian Luar Negeri.

Related posts

Leave a Comment