KUALA LUMPUR 30 Mei – Perdana Menteri Anwar Ibrahim menjunjung kasih kepada Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin yang menerima beliau menghadap tengah hari semalam.
Beliau berkata pada sesi menghadap itu, beliau menyembah maklum perkembangan terkini berhubung pembangunan negara dan negeri Terengganu kepada baginda.
Menerusi catatan di laman Facebook, Anwar berkongsi beberapa keping gambar bersama baginda.
Anwar turut mendoakan semoga Sultan Mizan serta seluruh Kerabat Diraja sentiasa dilimpahi rahmat dan hidayah-Nya serta berada dalam keadaan sihat, sejahtera dan penuh kedaulatan.
Ini adalah kali kedua Anwar menghadap Sultan Mizan selepas mengangkat sumpah jawatan pada 24 November tahun lalu. Kali pertama adalah pada 12 Januari lalu di Istana Syarqiyyah, Kuala Terengganu.
