Bakar Quran: Malaysia gesa Sweden bertindak

KUALA LUMPUR 30 Jun – Malaysia menyeru Sweden untuk menghentikan memberi kelulusan kepada tindakan provokatif membakar al-Quran di Stockholm, Sweden, yang merupakan jenayah kebencian dan pelaku harus dipertanggungjawabkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata Kerajaan Perpaduan amat bimbang dan marah dengan keputusan berulang untuk membenarkan tindakan keji itu atas nama kebebasan bersuara dan bahawa negara berdiri dalam solidariti dengan komuniti yang terjejas.

“Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan keji itu di luar sebuah masjid di Stockholm pada sambutan Aidiladha iaitu pada hari kegembiraan, perayaan dan perpaduan yang penting bagi umat Islam di seluruh dunia.

Ini adalah manifestasi jelas kebencian, sikap tidak bertoleransi agama dan Islamofobia.

“Kebebasan bersuara adalah hak asasi tetapi adalah penting untuk mendukung hak ini dalam lingkungan batasan dengan penuh menghormati dan bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan, di sini, malam tadi.

Sementara itu, Ketua Pembangkang,  Hamzah Zainuddin, menggesa kerajaan memanggil Duta Sweden ke Malaysia bagi menyatakan bantahan keras terhadap kejadian itu.

Hamzah yang juga Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), berkata kejadian itu bukanlah yang pertama, sebaliknya sudah berulang kali dilakukan.

Katanya, tindakan ekstremis serta biadab itu mesti ditolak dan dihentikan kerana ia jelas menggalakkan kebencian, perkauman dan bertentangan dengan usaha-usaha antarabangsa.

“Saya dan Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) kecewa yang teramat sangat dengan sikap kerajaan Sweden yang membenarkan insiden tersebut berlaku walaupun sedar perbuatan sedemikian boleh mencetuskan perbalahan agama

Adalah malang apabila kerajaan Sweden sendiri tidak bertindak dengan sepatutnya dalam menyuburkan nilai-nilai toleransi, kesederhanaan dan penolakan terhadap ekstremisme apabila sekali lagi membenarkan insiden sedemikian berlaku di Sweden,” katanya dalam satu kenyataan.

Kelmarin, seorang lelaki berasal dari Iraq bertindak membakar al-Quran di luar sebuah masjid di Stockholm, Sweden sehingga mencetuskan kemarahan termasuk Turkiye ketika Sweden berusaha menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Related posts

Leave a Comment