PM umum RM1 juta Tabung Kasih @ HAWANA

IPOH 28 Mei –  Perdana Menteri  Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan peruntukan permulaan RM1 juta untuk Tabung Kasih@HAWANA yang diwujudkan sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023

Ia bagi menyantuni pengamal media, bekas petugas media dan wartawan veteran yang memerlukan bantuan.

Tabung Kasih@HAWANA merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi dan Digital dan dilaksanakan menerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai usaha berterusan membantu komuniti media yang berdepan dengan kesukaran dan cabaran hidup.

Anwar turut menyampaikan sumbangan daripada tabung berkenaan kepada tiga wartawan veteran di Perak iaitu bekas pemberita bebas Ou So Ha @ Ou Kok Meng, 74, pemberita sambilan akhbar Tamil Malar V Maniam, 76 dan Editor portal berita Independent.my Haron Shafei, 65

Terdahulu di bawah inisiatif sama Haslinda Ahmad, balu kepada jurukamera TV3 Perak, Allahyarham Rosli Abu Bakar, turut menerima sumbangan itu.

Perdana Menteri turut menyampaikan Anugerah HAWANA 2023 kepada kartunis, Datuk Mohd Nor Khalid yang sinonim dengan nama Lat.

Anugerah HAWANA diberikan bagi mengiktiraf jasa, sumbangan dan kecemerlangan individu atau institusi yang telah memperkasa dan membangunkan industri media dan profesion kewartawanan dalam negara.

Pemilihan Lat dibuat berdasarkan sumbangan beliau dalam menyampaikan maklumat serta mendidik masyarakat dalam pelbagai isu menerusi karikatur yang digarap dengan lucu dan berhemah serta tidak kurang dengan sindiran, sekali gus membolehkan beliau menerima wang tunai RM10,000, trofi serta sijil penghargaan.

Related posts

Leave a Comment