Industri kewartawanan bebas sepenuhnya

IPOH 28 Mei –  Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini memberi jaminan industri kewartawanan negara bebas sepenuhnya dari sebarang bentuk pengaruh dan tekanan atau campur tangan mana-mana pihak khasnya kerajaan.

Beliau  menegaskan kesediaan menerima segala kritikan terhadap pentadbiran Kerajaan Perpaduan termasuk yang membabitkan dirinya.

Media bagaimanapun katanya perlu mengelak daripada mengeluarkan unsur-unsur yang mengungkit permusuhan kaum dan agama.

“Syukur Alhamdulillah dengan perubahan, masa dan juga iklim politik. saya dan rakan-rakan dalam pimpinan kerajaan sekarang membuat keputusan sangat jelas bahawa media di Malaysia harus bebas sepenuhnya.

“Kita bersedia dengan hujah kalau benar ada kelemahan, kita bersedia memohon maaf dan melakukan perubahan. Sebab itu, rakan-rakan, wartawan yang beri sambutan luar biasa hari ini harus menerima kenyataan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 di sini,  yang bertemakan “Media Bebas Tunjang Demokrasi”, dan dihadiri kira-kira 1,000 pengamal media.

Perdana Menteri juga menarik perhatian mengenai potensi surat khabar untuk bertahan jika mengekalkan mutu dan integritinya dalam menyalurkan maklumat.

Katanya , walaupun media sosial kini mengambil alih peranan akhbar fizikal, namun beliau masih berpandangan surat khabar mempunyai peranan yang lebih tinggi dan wajar berbanding media sosial.

“Saya masih mewakili fikiran lama, saya masih setiap hari selain melihat sedikit perkembangan di media sosial, saya masih wajib membaca surat khabar setiap hari,” katanya.

Related posts

Leave a Comment