Wartawan bukan sekadar ‘perakam’

IPOH 28 Mei – Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak mahu wartawan sekadar menjadi perakam detik, sebaliknya menjadikan profesion itu pencetus idea berteraskan nilai.

Mengambil contoh MADANI yang ditunjanginya, Anwar berkata, antara nilai yang digariskan dalam pendekatan itu adalah demokrasi dan bukannya fahaman sempit.

“Kita nak terapkan nilai bukan fahaman sempit yang boleh melemahkan dan mematikan semangat dan boleh memecahbelahkan rakyat.

“Jadi pembentukan nilai dan MADANI itu penting, ini (MADANI) istimewa dan unik kerana menekankan nilai dan akhlak itu mendasari pemikiran, pembangunan, kebebasan kewartawanan dan lain lain, jadi saya gesa rakan-rakan untuk sebarkan maklumat berdasarkan ilmu dan nilai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil dan Timbalannya Teo Nie Ching. Hadir sama Menteri Besar Perak Saarani Mohamad dan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak Mohd Azlan Helmi.

Perdana Menteri berkata harus ada usaha dalam kalangan wartawan dan penggerak media untuk memastikan golongan muda dalam kalangan wartawan, bukan berusaha sekadar berdisiplin di kuliah universiti, tetapi memahami sejarah.

“Selain itu, harus juga memaknai kehidupan dan bagaimana kedudukan rakyat serta negara boleh diangkat harakat dan martabat dengan nilai yang senang, kemanusiaan, persaudaraan, menolak kemungkaran, rasuah, penindasan yang akan merosakkan sendi masyarakat dan merobohkan kekuatan ytang kita bina selama ini,” katanya.

Anwar juga mahu penggiat media negara ini berusaha memupuk kesedaran dalam usaha mewujudkan budaya baharu dalam industri kewartawanan.

Menyingkap teladan ditonjolkan tokoh wartawan terdahulu, Perdana Menteri berkata, nilai yang mereka pupuk dalam kerja dibuat berdasarkan prinsip dan nilai yang boleh memberi manfaat kepada rakyat, apabila terarah menjadi pencetus kesedaran kebangsaan.

“Ia termasuk Za’ba yang membawa islah atau perubahan. Tokoh kebangsaan lain iaitu Kajai, A Samad Said, Osman Awang yang merupakan pemain utama dalam menjayakan pusat baharu.

“Ada babak-babak cemas apabila berlaku mogok Utusan kerana usaha penggagas idea ketika itu, pencetus benih kesedaran kebangsaan yang mahu mempertahankan kebebasan media sebagai suara hati nurani rakyat.

Kemudian apabila wartawan cuba memberi teguran, kritikan…(akhbar) The Star pernah diharamkan. Saya singkap pengalaman ini untuk tunjukkan bahawa perjuangan dalam kalangan wartawan yang mempunyai idea, prinsip dan nilai tidak semestinya mudah.

“Jadi acara HAWANA (Hari Wartawan Nasional) ini harus dimanfaatkan untuk menyatakan penghargaan kita (kerajaan) kepada mereka (pengamal media).

“Mudah-mudahan semangat yang ditanam itu dengan memupuk nilai dapat disemai dalam kalangan wartawan muda,” katanya.

Related posts

Leave a Comment