KUALA LUMPUR 22 Mei – Pertumbuhan ekonomi negara yang menunjukkan prestasi yang kukuh bagi suku pertama serta peningkatan pelaburan besar dan bernilai tinggi menunjukkan kerajaan mempunyai dasar yang jelas dan diyakini pelabur.
Justeru Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menangkis dakwaan pembangkang kononnya dasar ekonomi yang dibawa Kerajaan Perpaduan diterajuinya ketika ini sebagai bercelaru.
Katanya, mana mungkin dasar kerajaan bercelaru kerana jika bercelaru pertumbuhan ekonomi pada suku pertama 2023 tidak akan dapat mengatasi Indonesia, Vietnam dan China.
“Kalau dasar celaru, tidak mungkin pelaburan datang,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Hamzah Zainuddin (PN-Larut) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar menegaskan pelaburan yang dibawa masuk negara sebagai serius, kerana sebulan selepas beliau ke China, pelaburan daripada syarikat automotif negara itu, Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely) menyusul.
“Sebulan selepas kita ke negara China, Geely datang…bukan lancar Proton X90, tetapi juga mencadangkan supaya disegerakan (projek Pembangunan Lembah Teknologi Tinggi Automotif) di Tanjung Malim.
Maknanya, (Kerajaan Perpaduan) ada dasar yang jelas,” katanya.
Perdana Menteri berkata, kestabilan politik yang terbentuk di Malaysia ketika ini sudah menarik keyakinan pelabur asing, sekali gus menunjukkan dasar Kerajaan Perpaduan khususnya yang berkait dengan tata kelola yang baik mula disambut baik mereka.
“Kestabilan politik suatu yang meyakinkan sehingga pelaburan lebih rancak sekarang daripada dulu. Tetapi sekarang bukan pengumuman (pelaburan), tapi dapat dilihat pelaksanaannya.
“Saya lihat macam Tesla, Amazon (Amazon Web Services) dan Geely sebagai permulaan, hatta beberapa negara (lain akan menyusul) sesuai pada ketikanya.
“Dasar yang menarik pelaburan asing jelas dan sebab itu dia (pelabur) datang. Saya tidak fikir ini sebagai satu masalah. Macam isu Kadar Dasar Semalaman (OPR), dalam enam bulan baru sekali naik, tapi dalam 2022, empat kali naik tak jadi isu, kita naik sekali gegak gempita.
“Apa yang penting defisit kurang, inflasi turun, kadar pengangguran rendah dan pelaburan bertambah. Ini kejayaan Kerajaan Perpaduan,” katanya.
