Pelitup muka dijadikan pilihan

KUALA LUMPUR 7 Sept. – Berkuat kuasa serta merta, pemakaian pelitup muka dalam bangunan, kawasan dan ruang tertutup tidak lagi diwajibkan sebaliknya dijadikan sebagai pilihan.

Bagaimanapun Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata terpulang kepada pemilik premis sama ada mahu menentukan pengunjung perlu memakainya atau sebaliknya di samping dalam situasi tertentu pemakaiannya diwajibkan.

“Maksudnya sekarang kita serahkan kepada pemilik premis. Kalau pemilik premis mahu pengunjung pakai pelitup muka, maka kena pakai pelitup muka.

Sebagai contoh, kalau kedai gunting rambut wajibkan pakai pelitup muka, kita kena pakai dan mereka ada hak untuk tidak benarkan pengunjung masuk,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Persatuan Ubat Generik dan Biosimilar Antarabangsa (IGBA) – Organisasi bagi Industri Farmaseutikal Malaysia (MOPI) 2022 di sini hari ini.

Tambah beliau, meskipun pemakaian pelitup muka kini adalah pilihan namun terdapat beberapa situasi yang pemakaiannya masih diwajibkan.

“Pemakaian pelitup muka masih diwajibkan sekiranya positif Covid-19, ketika menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas, kereta api, teksi termasuk perkhidmatan e-hailing, kapal terbang serta bas, van pekerja dan van sekolah.

“Selain itu, ia juga diwajibkan semasa berada di fasiliti kesihatan seperti hospital, klinik, rumah penjagaan, pusat hemodialisis, dan yang setara dengannya,” ujarnya.

Orang ramai amat digalakkan memakai pelitup muka kerana ia terbukti mampu mengurangkan penularan jangkitan.

“KKM menggalakkan pemakaian pelitup muka terus diamalkan terutamanya apabila berada di kawasan ramai orang dan sesak seperti pasar malam, stadium, gedung beli-belah dan rumah-rumah ibadat.

“Individu bergejala seperti demam, batuk, selsema dan berisiko tinggi seperti warga tua, orang dengan penyakit kronik, individu dengan imuniti rendah dan ibu mengandung juga digalakkan terus memakai pelitup muka.

“KKM juga menggalakkan pemakaian pelitup muka ketika melakukan aktiviti bersama orang yang berisiko tinggi seperti warga emas dan kanak-kanak,” katanya.

Related posts

Leave a Comment