Hasil bidaan FF cecah RM34.3 juta

KUALA LUMPUR 22 Mei –  Nombor pendaftaran kenderaan siri FF, merekodkan kutipan hasil bidaan secara dalam talian paling tinggi membabitkan nilai keseluruhan RM34.3 juta, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Beliau berkata, proses bidaan antara 14 hingga 19 Mei lalu, turut merekodkan penyertaan paling ramai membabitkan 34,032 orang dengan 8,348 pembida berjaya memenangi nombor pendaftaran masing-masing.

Bercakap pada sidang media di Lobi Parlimen di sini, hari ini, beliau berkata, FF8 adalah nombor pendaftaran paling tinggi dibida dengan nilai RM950,000, diikuti FF9 (RM911,999); FF3 (RM639,000); FF2 (RM638,000) dan FF7 (RM633,000).

Selain itu, katanya, lima nombor pendaftaran paling diminati ialah FF199 yang dibida 34 orang, manakala FF51 (32 pembida), diikuti FF155, FF555 dan FF168 yang masing-masing dibida 29 individu.

Siri FF amat diminati kerana trend yang dikenal pasti ialah orang ramai sangat meminati (nombor pendaftaran) yang abjadnya sama. Malah, siri FF ini amat diminati pemilik kenderaan Ferrari.

“Proses bidaan yang sepatutnya ditutup pada 18 Mei lalu terpaksa dipanjangkan selama 24 jam kerana terlalu ramai yang menaikkan jumlah bidaan pada saat akhir dengan keadaan itu menyebabkan sistem JPJeBid tergendala seketika,” katanya.

Minggu lalu, JPJ dilapor melanjutkan tempoh masa bidaan siri nombor pendaftaran FF menerusi sistem JPJeBid sehingga 10 malam Sabtu berbanding dijadual tamat pada Jumaat.

Langkah itu selepas mengambil maklum aduan orang ramai mengenai sistem JPJeBid yang tidak stabil apabila tempoh untuk pembidaan bagi nombor plat FF akan berakhir disebabkan trafik tinggi.

Sementara itu, Loke berkata, pihaknya tidak akan mendedahkan perincian individu yang berjaya membida mana-mana nombor pendaftaran kenderaan siri FF, walaupun pihaknya memiliki perincian setiap pembida.

Ini kerana, katanya, JPJ mengehadkan setiap pembida menerusi akaun sama, hanya boleh membida sehingga tiga nombor pendaftaran, selain tidak melarang orang sama membida beberapa nombor selagi pihak berkenaan mematuhi peraturan ditetapkan.

“Siapa pemilik (nombor pendaftaran kenderaan siri FF) ini tak akan didedahkan, walaupun kita ada perincian mereka. Kita tak lihat kepada latar belakang pemilik, selagi mereka mampu membayar pada kadar tertinggi dan mematuhi setiap peraturan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment