SINGAPURA 22 Mei – Perdana Menteri Lee Hsien Loong diuji positif Covid-19 selepas pulang dari lawatan kerjanya ke Afrika Selatan dan Kenya baru-baru ini.
Dalam satu catatan di Facebook hari ini, Lee berkata beliau dalam keadaan baik tetapi dinasihatkan doktor supaya mengasingkan diri sehingga tidak lagi mengalami gejala.
“Saya diuji positif Covid-19 buat kali pertama pagi ini. Ini berlaku selepas lawatan kerja saya baru-baru ini. Saya secara amnya berasa ok tetapi doktor menasihati saya untuk mengasingkan diri sehingga saya tidak mengalami gejala”,” katanya.
Menurut Lee, atas sebab usianya, 71, beliau juga diberi ubat antivirus Paxlovid.
Beliau telah mendapatkan suntikan penggalak vaksin Covid-19 pada bulan November lalu dan menggesa penduduk supaya terus memastikan mendapatkan vaksin terkini mereka, kerana ia mengurangkan risiko penyakit yang teruk.
“Covid-19 kekal endemik di Singapura, kita mesti terus kekal selamat dan sihat,” ujar beliau.
PM Lee telah melakukan lawatan rasmi ke Afrika Selatan dari 14 Mei hingga 16 dan ke Nairobi, Kenya dari 17 hingga 19 Mei.
