Tidak dengar ahli UMNO protes DAP

SEREMBAN 18 Mei – Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, tidak mendengar sebarang protes daripada ahli UMNO atau khabar mengatakan mereka akan keluar parti susulan lokasi himpunan orang UMNO dimasuki anggota parti itu pada Ahad lalu.

Beliau menegaskan, kehadiran pemimpin DAP, termasuk dirinya di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada hari berkenaan, adalah atas kapasiti sebagai seorang pemimpin Kerajaan Perpaduan.

“Saya tak dengar pun ada ahli parti itu (UMNO) tunjuk protes (keluar parti). Itu hak masing-masing, saya tak tahu, sama ada mereka nak protes atau sebaliknya, itu terpulang.

“Pada hari itu, seperti yang kita nyatakan dengan jelas, kita bukan membawa topik parti kita, tapi perhimpunan Kerajaan Perpaduan, Ahad lalu itu adalah satu himpunan yang merangkumi semua kekuatan dalam kerajaan.

“Sebab itu kita tidak pakai uniform (pakaian seragam) parti masing-masing. Semuanya berbaju putih untuk menunjukkan kesatuan dan masing-masing hadir dengan satu semangat bahawa kita hendak mendukung Kerajaan Perpaduan, tanpa melihat topik politik masing-masing.

“(Walaupun) saya hadir sebagai Setiausaha Agong DAP, saya berucap sebagai seorang pemimpin dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya selepas majlis perasmian penukaran nama Jalan Temiang kepada Jalan Dr Chen Man Hin, di sini, hari ini.

Loke, yang juga Menteri Pengangkutan dan Ahli Parlimen Seremban, mengulas dakwaan bahawa kemungkinan ramai ahli UMNO akan bertindak keluar parti, susulan kononnya Dewan Merdeka, dimasuki serta ‘ditawan’ pemimpin serta ahli DAP, Ahad lalu.

Baru-baru ini bekas Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa mendakwa
UMNO bakal ditolak rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Presiden Muafakat Nasional, itu berkata, kehadiran puak sosialis, liberal, DAP ke Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada hari itu akan mendorong jutaan rakyat termasuk ahli UMNO akan terus meninggalkan parti itu,

“UMNO bakal ditolak rakyat dalam PRN dan PRU akan datang, Insya-Allah,” kata beliau dalam hantaran di Facebook peribadinya pada hari Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023,

Bagaimanapun, kenyataan itu ditolak Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, apabila menyifatkan dakwaan berkenaan bukan sahaja tidak berasas, malah bertujuan memecah-belahkan perpaduan parti itu yang kini mempunyai semangat dan iltizam baharu.

Mengulas lanjut, Loke berkata, dakwaan berkenaan tidak akan memberi kesan kepada gabungan kerjasama Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) dalam Kerajaan Perpaduan.

Tambahan pula, katanya, pihak yang membuat dakwaan terbabit adalah mereka yang sudah di luar UMNO.

“Macam-macam dakwaan, tapi saya dengar dakwaan itu daripada orang yang sudah keluar daripada UMNO, itu terpulanglah,” katanya.

Related posts

Leave a Comment