Jalan Temiang kini Jalan Dr Chen Man Hin

SEREMBAN 18 Mei –  Jalan Temiang, salah satu jalan utama di sini secara rasmi dinamakan Jalan Dr Chen Man Hin, mengambil sempena nama veteran yang juga pengasas DAP yang meninggal dunia pada 17 Ogos tahun lalu.

Mendiang adalah ADUN Rahang dari tahun 1965 hingga 1982 dan juga pernah menjadi Ahli Parlimen Seremban Timor (1969 – 1974) dan Seremban (1974 – 1982 dan 1983 – 1990).

Man Hin juga pernah menjadi Pengerusi DAP sejak 1966 hingga 1999 dan telah dilantik sebagai penasihat seumur hidup yang pertama bagi parti itu.

Pada 15 Februari lalu, Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun mengumumkan dua nama jalan utama di Negeri Sembilan ditukar kepada nama tokoh yang banyak berjasa di negeri itu.

Jalan Sikamat ditukar menjadi Jalan Datuk Sheikh Mohd Murtadza Ahmad yang juga bekas mufti Negeri Sembilan manakala Jalan Temiang ditukar menjadi Jalan Dr Chen Man Hin.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban merangkap Menteri Pengangkutan merasmikan pertukaran nama itu.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru Negeri Sembilan, Teo Kok Seong; Veteran DAP, Lim Kit Siang dan Pengerusi DAP, merangkap Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng serta pemimpin DAP negeri.

Guan Eng melalui hantaran di Facebooknya mengucapkan tahniah kepada Loke dan Kok Seong yang menjayakan usaha ini.

“Keluarga Dr Chen pastinya berbesar hati. Negeri Sembilan di bawah Saudara Anthony Loke menyertai Pulau Pinang dalam menjadi dua negeri yang menamakan jalan sempena pimpinan kita,” katanya.

Related posts

Leave a Comment