IPOH 18 Mei – Tiada perubahan signifikan akan berlaku susulan keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan menarik semula rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung penggunaan kalimah ‘Allah’.
Justeru Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, ia tidak seharusnya dipolemikkan berikutan tidak membabitkan perubahan peringkat dasar.
Beliau berkata sejak sekian lama pentadbiran kerajaan bersilih ganti antara parti, namun keputusan mahkamah itu tetap diguna pakai sehingga sekarang.
“Tak apalah tak setuju (dengan penarikan rayuan oleh KDN dan kerajaan), tetapi itu (penggunaan kalimah ‘Allah’) keputusan lama dan dipakai kerajaan terdahulu pun…dari Barisan Nasional (BN) ke Perikatan Nasional (PN), daripada UMNO ke Pas dan Bersatu sampailah sekarang, itulah dasarnya.
“Dasarnya iaitu tidak boleh dibenarkan istilah ‘Allah’ digunakan oleh bukan Islam termasuk dalam kitab-kitab mereka. Jadi perkataan ‘Allah’ untuk umat Islam di Semenanjung Malaysia dan begitu juga di Sabah dan Sarawak dengan beberapa syarat, tiada perubahan dengan yang sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra di Dewan Saidina Abu Bakar di Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM) di sini.
Sementara itu Anwar mempersoalkan tindakan segelintir pihak yang memberikan pelbagai label kurang enak termasuk mendakwa beliau sebagai seorang yang liberal susulan perkembangan dalam isu berkaitan kalimah Allah itu.
“Nak riuh rendah mengenainya pasal apa? Apa yang tak kena?
“Ohhh…(tuduh) Anwar memang liberal, tunduk kepada DAP dan sekarang memang betullah nak merosakkan akidah umat Islam. Apa benda ini?” katanya.
Sementara itu, Anwar berkata Kerajaan Perpaduan akan terus mencari kaedah bagi memastikan subsidi diberikan secara adil di mana golongan B40 adalah golongan yang akan terus diberi perhatian dalam pemberian subsidi.
“Minyak misalnya, orang miskin naik motor kita subsidi, orang kaya naik Mercedes pun kita bagi subsidi.
Jadi) kita cari kaedah (supaya) yang miskin kita jangan kacau, yang kaya pendapatan RM50,000 sebulan (atau) RM100,000 sebulan, bayarlah…jadi itu tetap jadi dasar kita,” katanya.
Ahli Parlimen Tambun itu turut mempertahankan keputusan untuk pengenaan caj tarif elektrik sebenar pada pengguna yang menggunakan elektrik berlebihan, yang tidak menjejaskan 80 peratus pengguna.
“Tetapi kalau tak naik sama sekali pun masalah, kerana susbsidi terlalu tinggi kalau kos RM10, kerajaan tanggung RM5.
“Jadi kita ambil keputusan jangan ganggu B40, M40 (yang mana) 80 peratus tidak dibebankan. Yang kita kenakan hanya T20, itu pun untuk bayar kos sahaja, bukan kerajaan ambil untung,” katanya.
