Mohon maaf selepas kritik Mat Sabu

KUALA LUMPUR 14 Mei – Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh hari ini memohon maaf secara terbuka atas kritikannya berhubung keputusan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu melantik lima pemimpin parti poltik menerajui agensi di bawah kementerian berkenaan baru-baru ini.

Beliau menzahirkan permohonan maaf itu kepada parti Amanah pimpinan Mohamad semasa berucap di Konvensyen Pemuda Perpaduan 2023, di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini.

“Saya faham hari itu saya bangkang isu pelantikan badan berkanun, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), untuk sahabat-sahabat Amanah, saya berbesar hati mohon maaf,” katanya.

Dr Muhamad Akmal sebelum ini meminta supaya lantikan lima pengerusi baharu badan berkanun di bawah kementerian berkenaan yang kesemuanya ahli politik diteliti semula.

Jelas beliau, ini berdasarkan prinsip Kerajaan Perpaduan yang mahu melakukan reformasi terhadap amalan lantikan politik dalam badan berkanun dan GLC.

Beliau meminta kesemua lantikan itu ditarik balik kerana menurutnya, walaupun ia adalah hak prerogatif menteri, tetapi perlu melihat prinsip kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ia membabitkan tiga pemimpin Amanah iaitu bekas Ahli Parlimen Pokok Sena,  Mahfuz Omar sebagai Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP); Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Muhammad Faiz Fadzil sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Aminuddin Zulkipli sebagai Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Turut dikantik ADUN Paloh, Sheikh Umar Bagharib Ali sebagai Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) dan, bekas Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr Azman Ismail sebagai Pengerusi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

Sementara itu, Dr Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, menggariskan tiga perkara utama untuk kekal dalam Kerajaan Perpaduan iaitu saling menghormati, memahami dan mempercayai antara satu sama lain.

Beliau berkata, orang muda perlu menunjukkan gaya politik baharu dengan melupakan segala sengketa yang lalu kerana masa depan negara bergantung kepada generasi kini.

“Orang muda sekalian, inilah masa kita mencipta sejarah politik baharu, hari ini kita kena tunjuk pada rakyat di luar sana bahawa orang muda dalam Kerajaan Perpaduan tidak lagi cakap soal ekstremis atau ‘kau orang sana, kita orang sini’.

“Namun sebaliknya, kita bercakap soal untuk mencari kesamarataan dan kesamaan demi negara kita,” katanya.

Pihaknya turut mempertikaikan pihak yang menyifatkan pembentukan Kerajaan Perpaduan, seolah-olah seperti perkahwinan paksa, kerana bagi beliau, ‘tempoh perkenalan’ sehingga puluhan tahun pun tidak menjamin kesetiaan.

“Ada orang kata kita kahwin paksa, saya nak beritahu ibu, ayah, nenek, atuk kita dulu kahwin pun tak kenal sesama sendiri, …kalau bercinta 10 tahun pun tetapi tahun pertama kahwin, lelaki curang buat apa?

“Jadi nak cari suami yang setia atau yang curang,” katanya.

Related posts

Leave a Comment