Tidak perlu ungkit kisah silam

KUALA LUMPUR: Pemimpin parti komponen Kerajaan Perpaduan perlu berusaha membawa kerjasama dan kestabilan di peringkat kerajaan ke peringkat ahli parti dan akar umbi, terutama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Pengerusi Wanita Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata, struktur dan kerangka Kerajaan Perpaduan sangat jelas, merangkumi semua parti terbabit yang melangkaui sifir politik, agama dan kaum yang dimahukan rakyat.

“Ini bukan masa untuk setiap parti (dalam Kerajaan Perpaduan) mencari salah dan silap serta mengungkit kisah silam sepanjang permusuhan di pentas politik. Ya, mungkin pada peringkat awal (kerjasama) agak janggal, “ katanya.

Beliau yang juga Ketua Pergerakan Wanita UMNO berkata, sebelum ini tiada siapa menyangka beliau boleh duduk semeja dengan Ketua Wanita Pakatan Harapan, Aiman Athirah Sabu dan Ketua Wanita DAP, Chong Eng.

“Namun, ini satu perkara yang sudah kita mulakan dan insya-Allah, kita akan teruskan sampai bila-bila. Dengan gabungan besar yang sarat dengan pengalaman, potensi yang ada ini tidak boleh disia-siakan.

“Kita perlu fokus, jadikan konvensyen ini sebagai titik mula kepada sebuah agenda yang lebih besar, tekad bersama dan jangan bertangguh lagi,” katanya pada Konvensyen Wanita Perpaduan di Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.

Sementara itu, Aiman Athirah dalam ucapannya pada konvensyen sama, berkata setiap program yang dirangka Kerajaan Perpaduan mengambil kira wanita yang tidak diketepikan dalam apa juga cara dan wajah.

Setiap program Madani yang dirangka tidak hanya mengambil kira wanita sebagai “objek pembangunan. Ini hendaklah diterjemahkan kepada perubahan hubungan lelaki dan wanita di tahap individu, komuniti, masyarakat dan negara,” katanya.

Aiman Athirah yang juga Ketua Wanita Parti Amanah Negara berkata wanita dalam Kerajaan Perpaduan bukan lagi kumpulan yang ‘terperosok’ dalam kerjaya rumah tangga saja, sebaliknya turut menjadi tonggak perusahaan negara.

“Lihat saja bagaimana kami menjadikan pertanian itu ditransformasi menjadi perindustrian dengan merubah keledek di batas kebun menjadi kerepek dan rempeyek di rak pasar raya kota.

“Dapur dulunya berasap untuk keluarga kini mengorak menjadi wanita berkerjaya sebagai ‘home baker’,” katanya yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Justeru, katanya, wanita kini memerlukan akses kepada sokongan kerajaan kerana golongan itu bukan peserta sosial dalam kegiatan perusahaan semata-mata, tetapi juga penentu sebenar dalam perusahaan.

Related posts

Leave a Comment