PSI: Hanya Pulau Silikon dibina

PULAU PINANG: Projek Pulau Pinang Selatan (PSI) yang membabitkan penambakan laut secara besar-besaran bagi membina tiga pulau buatan, dikecilkan kepada sebuah pulau sahaja iaitu Pulau Silikon atau Pulau A, yang berkeluasan 920 hektar.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata projek penambakan laut membabitkan Pulau B yang berkeluasan 560 hektar dan Pulau C seluas 320 hektar tidak diteruskan.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas lawatan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim baru-baru ini yang meminta supaya kerajaan negeri mengkaji supaya skop projek itu dikecilkan.

“Jadinya kerajaan negeri menyahut seruan dengan beberapa pendekatan tersenarai iaitu Pulau A seluas 920 hektar akan dilaksanakan dalam dua fasa dengan keseluruhan membabitkan tempoh 10 hingga 15 tahun untuk kerja tambakan.

Pulau B membabitkan keluasan 560 hektar dan Pulau C 320 hektar tidak diteruskan,” katanya pada sidang media di Bangunan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), hari ini.

Beliau berkata, keputusan itu sekali gus menjadikan projek tambakan laut PSI dikecilkan sebanyak 49 peratus daripada jumlah keseluruhan asal 1,821 hektar membabitkan pembangunan tiga pulau kepada 930 hektar.

Cadangan asal PSI adalah membabitkan pembangunan tiga pulau buatan di perairan Permatang Damar Laut, Bayan Lepas.

Perdana Menteri dalam lawatan ke Pulau Pinang baru-baru ini mengumumkan kerajaan Persekutuan akan menyalurkan dana tambahan bagi membantu kerajaan negeri menyegerakan projek pembinaan transit aliran ringan (LRT) Georgetown-Bayan Lepas, dengan mengambil kira kebimbangan pelbagai pihak berhubung cadangan pembangunan Pulau A (Pulau Silikon).

Menurut Ketua Menteri, perkara ini juga sudah dibincangkan dalam mesyuarat EXCO semalam dan dipersetujui.

Bulan lalu, Kon Yeow berkata, PSI yang membabitkan penambakan laut secara besar-besaran di Pulau Pinang, mendapat kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA).

Beliau berkata, kelulusan EIA itu diperoleh, dengan 71 syarat yang perlu dipenuhi.

Bagaimanapun, projek PSI itu mendapat banyak bantahan pelbagai pihak termasuk komuniti nelayan, aktivis alam sekitar dan badan bukan kerajaan (NGO) yang mendakwa projek itu akan memusnahkan eko-sistem marin di kawasan berhampiran.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, mesyuarat Exco semalam juga memutuskan supaya projek Pulau Silikon akan kekal sebagai tapak LRT dengan keluasan 24 hektar.

Beliau berkata, komponen ‘Taman Teknologi Hijau’ atau ‘Green Tech Park’ (GTP) dan ‘Heart of Islan’ (HOTI) di Pulau Silikon masing-masing akan menjadi pemangkin ekonomi dan produk pelancongan baharu bagi negeri ini.

Berikutan itu, hanya 115 nelayan dari unit Permatang Tepi Laut yang berhadapan dengan tapak tambakan Pulau Silikon bakal terbabit secara langsung berbanding 496 nelayan (dari empat unit nelayan) sebelum ini.

Fasa pertama Pulau Silikon berkeluasan 520 hektar (termasuk tapak depoh LRT) dijangka mengambil masa tujuh hingga 10 tahun untuk disiapkan dan hampir tidak akan memberi impak kepada nelayan untuk keluar menangkap hasil laut manakala fasa kedua pula merangkumi keluasan 400 hektar,

“Secara keseluruhan, jangka masa pembangunan Pulau Silikon termasuk bahagian ‘topside’ adalah selama 20 tahun,” katanya.

Justeru, Kon Yeow berkata, dengan perkembangan terbaru ini, skim Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) untuk nelayan terbabit akan dibincangkan secara terperinci dalam Mesyuarat Jawatankuasa Taskforce Nelayan yang akan dipengerusikan Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

Ditanya jika ada keperluan untuk mengemukakan semula Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) baharu, beliau berkata, kemungkinan perkara itu tidak perlu kerana kelulusan sebelum ini adalah untuk tiga pulau.

Mengenai sama ada terdapat sebarang implikasi kepada negeri ini, beliau berkata perjanjian induk yang ditandatangani sebelum ini hanya untuk pembangunan Pulau Silikon.

Related posts

Leave a Comment