SEPANG 21 Jan. – Pemuda UMNO menyokong reformasi pendidikan yang mewajibkan silibus mata pelajaran Bahasa Melayu dan juga Sejarah kepada seluruh sistem pendidikan dalam negara termasuk Unified Examination Certificate (UEC).
Ketuanya, Dr Muhammad Akmal Saleh berkata, langkah itu adalah berani dan baik, malah merupakan tindakan yang dinantikan ramai pihak.
“PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim), ‘you earn my respect’ apabila mewajibkan silibus mata pelajaran Bahasa Melayu dan juga sejarah kepada seluruh sistem pendidikan dalam negara ini termasuklah UEC.
“Ini langkah yang sangat berani, langkah yang sangat baik,” katanya menerusi satu video yang dikongsi di laman Facebooknya semalam.
Bagaimanapun, Dr Muhammad Akmal menegaskan terdapat beberapa isu yang perlu dibahaskan dan diterliti lebih lanjut, antaranya masalah kekurangan guru dan fasiliti di sekolah.
Menurut beliau, pengumuman untuk membolehkan murid berumur enam tahun memasuki Darjah 1 secara sukarela berpotensi menambah bilangan pelajar yang seterusnya boleh membebankan guru dan menjejaskan kualiti pengajaran.
“Masalah yang kita ada sebenarnya bukan soal cikgu kita tak nak mengajar, tetapi kita ada masalah kekurangan guru untuk mengajar dan kekurangan fasiliti di setiap sekolah.
“Kalau masalah asas ini tidak diselesaikan dan kita tambah lagi bilangan pelajar, ia akan memberikan kesan secara tidak langsung kepada anak-anak kita,” ujarnya.
Beliau turut menekankan isu kesesakan di kelas sedia ada, dengan sesetengah kelas menampung 30 hingga 35 pelajar, menyebabkan ketidakselesaan dalam proses pembelajaran.
Tambahan bilangan pelajar Darjah 1, perlu ditampung sepanjang enam tahun pengajian di peringkat rendah, yang memerlukan perancangan teliti.
Dr Muhammad Akmal meminta Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan untuk meneliti semula cadangan yang diumumkan bagi memastikan masalah asas dalam sistem pendidikan negara dapat ditangani terlebih dahulu.
“Kalau tak dapat menyelesaikan masalah yang asas ini, saya percaya ini akan memberikan kesan yang sangat tidak baik kepada sistem pendidikan anak-anak kita. Jangan tambah lagi masalah baru,” ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa keprihatinan terhadap kesejahteraan murid dan guru harus menjadi keutamaan dalam sebarang reformasi pendidikan.
Nnn
