Aktiviti keganasan Malaysia turun

PUTRAJAYA 11 Mei – Malaysia merekodkan pencapaian terbaik dalam mendepani aktiviti keganasan apabila berada di kedudukan ke-75 menerusi Indeks Keganasan Global (GTI) tahun lalu, berbanding 68 pada 2021, kata Timbalan Perdana Menteri, Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, trend aktiviti keganasan di Malaysia juga mencatatkan penurunan dengan hanya dua kes penahanan tahun lalu, berbanding tujuh pada 2021.

Bercakap pada satu sidang media di sini, Ahmad Zahid berkata, perangkaan menunjukkan tahap keganasan dan penangkapan dilakukan, tertinggi pada 2016, di mana 126 orang yang disyaki sebagai pengganas ditahan.

Angka itu turun kepada 107 pada 2017 berikutan beberapa tindakan pencegahan dan penguatkuasaan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta beberapa langkah okeh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Terdahulu, beliau mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tinggi Kawalan Keganasan (JPTKK) di Bangunan Perdana Putra di sini, hari ini. Yang turut hadir, Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Rodzi Md Saad.

Pada mesyuarat itu, Jawatankuasa Kawalan Keganasan Kebangsaan (JKKK) turut dibentuk untuk membantu JPTKK selain empat jawatankuasa kecil peringkat pegawai kanan.

Jawatankuasa kecil pula membabitkan Penyelarasan Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Penyelarasan Perundangan dan Penguatkuasaan Undang-Undang, Perlindungan Infrastruktur Utama Negara serta Penyediaan dan Pelaksanaan Program Kesedaran dan Komunikasi Strategik.

Ahmad Zahid berkata, pencapaian yang diperoleh Malaysia itu secara tidak langsung menunjukkan bahawa langkah pencegahan amat penting dalam menangani ancaman keganasan.

Katanya, negara juga perlu mengelakkan berlakunya perbezaan terutama membabitkan fahaman politik, taksub agama serta perkauman selain masalah psikologi dan rumah tangga yang boleh mendorong kepada keganasan.

“Daripada dapatan kajian memperlihatkan, keganasan disebabkan oleh agama, bukan dilakukan oleh orang yang memahami soal agama tetapi oleh mereka yang tidak ada latar belakang agama tetapi mahu mencari jalan singkat untuk masuk ke syurga.

“Jadi dalam hal ini Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan dibabitkan untuk merangka satu usaha pencegahan di dalam kurikulum pendidikan di peringkat prasekolah, sekolah rendah dan menengah serta pengajian tinggi,” katanya.

Beliau berkata, MKN akan meneruskan pemantauan dan mengambil langkah untuk mencegah keganasan serta masalah pelampau agama serta perkauman di negara ini.

“Kita juga mengambil beberapa tindakan terhadap pencegahan dan menangani fahaman pelampau keganasan dan ini lebih berbentuk kepada perbezaan politik dan (mereka yang) menggunakan isu politik umpamanya Islam terancam kerana ini dikhuatiri akan menimbulkan kegusaran kepada mereka yang tidak memahami isu sebenar,” katanya.

Related posts

Leave a Comment