KUALA LUMPUR 11 Mei – Presiden UMNO Dr Ahmad Zahid Hamidi mengajak anggota parti itu menjayakan tata kelola politik baharu yang matang dan segar agar UMNO menjadi parti berdisiplin, mendahului kepentingan individu, cekap dan efisyen.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata, UMNO perlu membuktikan kepada rakyat bahawa parti ini tidak akan sesekali mensia-siakan harapan rakyat.
“Kita raikan suara akar umbi, gabungan suara anak muda dan dewasa, membina generasi pelapis masa depan bagi melangkah ke depan,” katanya dalam satu kenyataan bertajuk UMNO Sedang Pulih dan Bangkit sempena Ulang Tahun UMNO ke-77 hari ini.
Katanya, sesuai dengan realiti baharu di bawah Kerajaan Malaysia Madani Perpaduan inilah ruang hikmah untuk menguatkan kedudukan parti menjadi lebih relevan dan berfungsi dengan lebih dinamik dan cakna dengan perubahan semasa.
“Mari kita gilap semangat dan idealisme perjuangan parti yang bersejarah dan membina UMNO yang lebih progresif dan mendepani dengan idea-idea segar bagi berdepan politik toksik pembangkang yang direncahkan dengan perkauman sempit dan sentimen tunggangan agama melampau tanpa memikirkan tanggungjawab untuk membina negara bangsa.
Dari latar belakang kaum, wilayah, agama, kelas dan profesion yang pelbagai kita jadikan kekuatan yang perlu diraikan dan bukannya dijadikan jurang pemisah atau tembok politik perkauman sempit,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, UMNO menjadi mangsa politik kebencian dan prejudis melampau disebar musuh politiknya, sehingga membentuk persepsi negatif, sekaligus mengenepikan politik nilai dan khidmat yang sepatutnya menjadi pegangan semua pihak.
Beliau mendakwa permainan persepsi diasak sepanjang masa oleh musuh UMNO kini sudah membentuk satu realiti yang merbahaya di dalam pemikiran dan kehidupan rakyat.
“Politik nilai, politik khidmat, ikhtiar untuk membina negara yang terbaik, iltizam politik untuk meletakkan negara pada landasan ekonomi yang kukuh dan terbaik semuanya diketepikan dan digantikan dengan kebencian dan dendam kesumat.
“Musuh itu terus ghairah menanamkan perasaan benci dan prejudis yang melampau dalam pemikiran rakyat, terutamanya anak-anak muda yang baru saja bersemangat dalam menunaikan tanggungjawab demokrasi masing-masing,” katanya
Ahmad Zahid berkata, daripada usaha memajukan masyarakat mendepani cabaran abad ke-21, permainan persepsi negatif ini sebaliknya sudah menganjakkan masyarakat negara ini jauh ke belakang.
“Kita sudah kembali kepada budaya politik lapuk dan ketinggalan zaman. Dan yang menerima kesan terburuk adalah anak-anak muda kita sendiri. Bayangkan pelapis-pelapis negara kita memulakan ‘political journey’ mereka melalui lensa perkauman dan propaganda kebencian.
Saya yakin, pihak sana bukannya tidak sedar kesan buruk propaganda ini tetapi memilih sengaja memejamkan mata dan membiarkan anak muda kita terus terbuai sehingga membelakangkan semangat perpaduan yang menjadi asas kekuatan Negara. Semuanya demi laba dan kuasa, bukan demi rakyat dan negara,” katanya.
Beliau berkata peranan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan, satu peluang kepada parti untuk menggalas tanggungjawab mentadbir negara dengan baik dan membuktikan kebolehan memimpin harapan rakyat.
“Cara kita membina negara perlu lebih cekap dan bermaruah serta berintegriti. Kita mendukung nilai-nilai hormat dan saling kebertanggungjawaban antara kita dan juga rakan-rakan kita dalam Kerajaan Perpaduan.
“Kita mengambil pendirian rasional dan mengiktiraf bahawa kita boleh bergerak seiringan. Bukan saja dalam aspek nilai-nilai yang kita kongsi bersama, tetapi juga dalam menentukan hala tuju Malaysia yang terbaik,” katanya.
Katanya, UMNO berazam untuk mengurniakan rakyat Malaysia dengan sebuah kerajaan yang diyakini dan sentiasa mempertahankan nilai-nilai demokrasi dan hak kemanusiaan serta cakna realiti semasa.
Justeru katanya, adalah sangat penting untuk UMNO menjelmakan kembali kekuatan parti, UMNO perlu kuat dan mantap, mempunyai tapak yang luas lagi inklusif.
“Ingat, parti bersejarah ini bermula sebagai gerakan amal bakti dan bukan kelab golongan elit, golongan hartawan dan peniaga atau kelab ‘eksklusif’.
“Prinsip perjuangan parti perlu sentiasa meletakkan kepentingan rakyat di hadapan. Yang bertunjangkan semangat kemasyarakatan yang tinggi. Visi parti bukan pada Malaysia yang kuat semata-mata, tetapi pada rakyatnya yang hidup aman dan makmur,” katanya.
Beliau berkata, UMNO memahami dan mewakili realiti semasa dan sentiasa bersedia untuk melaksanakan segala tuntutannya, termasuk memperkasa agenda Melayu dalam konteks Malaysia yang semakin moden.
“Kini seluruh rakyat Malaysia menumpukan perhatian kepada UMNO untuk meneliti gerak geri, mengadili idea-idea dan dasar, memperhalusi cara kita menyantuni rakyat,” katanya.
