Seperti ‘cacing kepanasan’ melihat Dr. M, Hadi

PUTRAJAYA 3 Mei –  Ada yang seperti cacing kepanasan melihat pertemuan dua tokoh besar Pemimpin Melayu Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Pas Abdul Hadi Awang, demikian menurut hantaran di Facebook Pas hari ini.

Kenyataan itu merujuk pertemuan Abdul Hadi dan Dr Mahathir berhubung program Proklamasi Melayu yang menjadi sebahagian rancangan besar agenda penyatuan ummah yang turut diusahakan Pas.

“Pertemuan dua tokoh besar ini hanyalah sebahagian daripada ‘grand design’ agenda penyatuan ummah yang diusahakan oleh Pas selama ini. Kita doakan agar agenda ini terus subur dan mekar dalam negara ini,” kata kenyataan itu.

Sebelum ini tersebar gambar mengenai pertemuan Abdul Hadi dan Dr Mahathir yang turut disertai beberapa pemimpin Pas dan sekreteriat Proklamasi Orang Melayu.

Antara pemimpin Pas yang hadir adalah Naib Presiden, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Setiausaha Agung,  Takiyuddin Hasan dan Penolong Setiausaha Agung, Mohd Syahir Che Sulaiman.

Turut kelihatan Pengerusi Sekretariat Proklamasi Orang Melayu,  Marzuki Yahya dan Pengerusi Biro Mobilisasi Sekretariat Proklamasi Orang Melayu,  Khairuddin Abu Hassan.

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara, Khalid Abd Samad dilaporkan berkata  pertemuan dua pemimpin itu dalam satu pakatan yang boleh menjatuhkan kerajaan.

“Pakatan ini bolehlah saya namakan ‘Kesepakatan Ahzab’ kerana kesepakatan untuk memporakperandakan negara dengan menjatuhkan kerajaan yang sah,” katanya seperti dilaporkan BH.

Beliau mengulas mengenai beberapa gambar yang tular di media sosial yang menunjukkan sesi pertemuan di antara Dr Mahathir dengan Presiden Pas itu.

Menurut hantaran Pas itu, ada pihak seolah-olah terlalu gusar dengan agenda penyatuan pemimpin Melayu Islam yang semakin subur kebelakangan ini.

“Mereka takut bila pemimpin Melayu berpakat, cakna dan perjuangkan nasib orang Melayu. Sehingga tergamak membayangkan orang Melayu hidup selesa dengan keistimewaan yang diperuntukkan dan angkuh dengan kaum-kaum yang lain.

“Sedangkan orang Melayu ini sudah banyak berlapang dada dan berkorban.

Kaum mana yang sejak sekian abad sangggup terima orang asing untuk menumpang rezeki di tanah air mereka?

“Kaum mana yang rela berkongsi tanah sehingga orang asing boleh mengutip hasil dan menjadi lebih kaya dari mereka? Sehingga akhirnya mereka yang datang itu terus menetap di sini dan menjadi rakyat di negara ini,” kata hantaran itu.

Menurut hantaran itu lagi Malaysia kini dikenali sebagai sebuah negara berbilang kaum dan orang Melayu menerima hakikat itu.

“Namun, jika Melayu tergugat mereka wajar diberikan kebebasan untuk bangun mempertahan maruah dan identiti bangsa agar terus dihormati di negara sendiri,” kata kenyataan itu.

Related posts

Leave a Comment