Penggunaan katil lebih 85 peratus

PUTRAJAYA 4 Julai – Kadar penggunaan katil pesakit termasuk ‘repurpose bed’ (katil yang diubah suai) di hospital-hospital di Lembah Klang kini melebihi 85 peratus, kata Menteri Kesihatan Dr Adham Baba.

Justeru Kementerian Kesihatan akan melaksanakan beberapa langkah afirmatif bagi menangani keadaan luar jangka kedatangan atau rujukan pesakit yang tinggi ke hospital kementerian di Lembah Klang, terutamanya di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Antaranya ialah meluaskan lagi penyumberluaran pesakit bukan Covid-19 ke hospital swasta bagi membolehkan HKL menerima dan merawat lebih ramai pesakit Covid-19.

Selain itu, kapasiti katil unit rawatan rapi (ICU) dan bukan ICU termasuk peralatan dan kemudahan seperti alat bantuan pernafasan di hospital KKM dan Hospital Pengajar Universiti seperti Hospital Pakar Kanak-kanak Universiti Kebangsaan Malaysia, Hospital Universiti Putra Malaysia dan Hospital Universiti Teknologi Mara (UiTM), akan ditingkatkan bagi menerima pesakit Covid-19.

“Turut dilaksanakan ialah memberi penugasan semula sementara kepada petugas kesihatan merangkumi pakar perubatan dan anggota paramedik dari negeri tertentu, bagi menyokong perkhidmatan di hospital KKM dan Hospital Pengajar Universiti yang memerlukan petugas kesihatan tambahan untuk merawat pesakit Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Adham berkata langkah lain ialah mengoptimumkan sumbangan sukarelawan dan pelajar kejururawatan tahun akhir daripada Institut Latihan KKM yang sedang menjalani latihan praktikal bagi membantu petugas kesihatan seperti di pusat pemberian vaksin (PPV), manakala sebahagian jururawat berpengalaman di PPV dan pusat saringan Covid-19 ditugaskan semula bagi menyokong penyampaian perkhidmatan di hospital KKM.

“Menerusi langkah-langkah afirmatif ini, KKM berharap tekanan tinggi yang diterima oleh pihak hospital untuk menerima dan merawat pesakit Covid-19 dapat dikurangkan dari semasa ke semasa, serta negara dapat segera mencapai pemulihan,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Adham berkata daripada keseluruhan kes Covid-19 yang dikendalikan oleh HKL, sebanyak 71 peratus adalah pesakit kategori tiga hingga lima, manakala bakinya pesakit kategori satu dan dua.

Berdasarkan rekod terkini, Jabatan Kecemasan dan Trauma HKL menerima 60 hingga 70 pesakit Covid-19 sehari dengan purata tiga pesakit kategori empat dan lima yang memerlukan bantuan alat pernafasan selain perlu dirawat di ICU.

Related posts

Leave a Comment