BNM umum OPR kini 3 peratus

KUALA LUMPUR 3 Mei –  Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan keputusan menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) meningkat 25 mata perpuluhan kepada 3 peratus.

Dalam satu kenyataan, bank pusat berkenaan menyatakan kenaikan ini akan menyebabkan kadar siling dan lantai OPR masing-masing kini meningkat kepada 3.25 peratus dan 2.75 peratus.

BNM dalam satu kenyataan menyatakan, dengan prospek pertumbuhan domestik kekal berdaya tahan, MPC menilai bahawa adalah tepat pada masanya untuk menormalkan lagi tahap akomodasi kewangan.

Ini menjadikan kadar OPR ketika ini kembali kepada kadar seperti pra-pandemik Covid-19 iaitu pada 7 Mei 2019.

BNM turut memaklumkan kebanyakan bank pusat mengekalkan dasar kewangan yang ketat.

“Memandangkan prospek pertumbuhan dalam negeri yang terus berdaya tahan, MPC menilai bahawa kini adalah masa yang tepat untuk terus mengembalikan tahap akomodasi monetari ke paras yang wajar.

Berikutan keputusan ini, MPC telah mengakhiri rangsangan monetari yang bertujuan untuk menangani krisis Covid-19 bagi menggalakkan pemulihan ekonomi,” kata kenyataan tersebut.

BNM memaklumkan, MPC juga mengakui perlunya pendirian dasar monetari yang wajar bagi mengelakkan risiko ketidakseimbangan kewangan pada masa hadapan susulan kekukuhan ekonomi Malaysia yang berterusan.

Mengulas berkenaan kadar inflasi ketika ini, bank pusat itu berkata  inflasi keseluruhan menunjukkan trend menurun pada bulan-bulan kebelakangan ini disebabkan oleh faktor kos yang menurun.

“Inflasi keseluruhan dan inflasi teras dijangka menjadi sederhana sepanjang tahun 2023, berpurata antara 2.8 peratus hingga 3.8 peratus. Bagaimanapun, inflasi teras akan kekal pada paras tinggi berikutan keadaan permintaan yang kukuh.

“Kawalan harga dan subsidi bahan api sedia ada akan terus membendung sebahagian daripada tekanan inflasi yang meningkat,” kata kenyataan itu.

BNM turut mengakui, imbangan risiko terhadap prospek inflasi cenderung ke arah inflasi menjadi lebih tinggi dan terus bergantung pada sebarang perubahan pada dasar dalam negeri termasuk mengenai subsidi dan kawalan harga, perkembangan pasaran kewangan serta harga komoditi global.

Related posts

Leave a Comment