KUALA LUMPUR 3 Mei – Jumlah kes demam denggi pada minggu 22 hingga 29 April lalu menurun 5.4 peratus atau 102 kes kepada 1,775 kes, berbanding 1,877 kes pada minggu sebelumnya.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Muhammad Radzi Abu Hassan, dalam satu kenyataan berkata dalam tempoh sama, tiada kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan.
“Sehingga kini, kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan ialah 36,997 kes, namun merekodkan peningkatan 24,056 kes atau 185.9 peratus berbanding 12,941 kes bagi tempoh sama tahun lepas,” katanya
Dr Muhammad Radzi berkata, dalam minggu sama, terdapat 103 lokaliti hotspot dilaporkan berbanding 116 lokaliti pada minggu sebelumnya dengan 58 lokaliti di Selangor, Pulau Pinang (25) dan Sabah (tujuh).
Di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya terdapat enam lokaliti, diikuti Perak (lima), serta masing-masing satu lokaliti di Kedah dan Sarawak.
Sementara itu, bagi survelan chikungunya, berkata terdapat empat kes dilaporkan pada minggu terbabit dengan dua kes di Selangor dan masing-masing satu di Kedah serta Perak yang menjadikan keseluruhan kes chikungunya sehingga kini ialah 1,242 kes.
Bagi survelan zika, sebanyak 973 sampel darah dan 37 sampel urin dijalankan saringan zika dan hasil semuanya adalah negatif.
