Guan Eng kembali KM khabar angin

PUTRAJAYA 3 Mei – DAP tidak pernah menerima sebarang memorandum atau surat daripada mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mendesak supaya Pengerusi parti itu, Lim Guan Eng, menerajui semula kerajaan Pulau Pinang.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, bagaimanapun menganggap gesaan dan desakan itu sebagai khabar angin semata-mata.

“Saya tidak menerima apa-apa gesaan dan tidak tahu daripada siapa. Dikatakan (desakan itu) daripada tiga ADUN, tapi saya tidak pernah terima apa-apa memorandum atau surat daripada mana-mana ADUN,” katanya.

Sebuah portal hari ini melaporkan terdapat desakan dalam DAP dikatakan bertujuan menyekat ADUN Padang Kota, Chow Kon Yeow, daripada terus menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang selepas pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Tiga ADUN yang dikatakan sebagai perancang gerakan itu mahukan Guan Eng kembali bertanding dalam PRN di Pulau Pinang menerajui kerajaan negeri selepas  mendakwa Kon Yeow dilihat tidak berkesan sebagai ketua menteri.

Sementara itu, di Pulau Pinang, Kon Yeow mengulas perkara sama mengakui tidak tahu menahu terdapat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang tidak berpuas hati dengan pentadbirannya sebagai Ketua Menteri.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri itu berkata, tidak ada mana-mana ADUN kerajaan negeri yang pernah menyatakan atau menunjukkan rasa tidak puas hati mereka terhadap pentadbirannya sepanjang menjawat jawatan itu.

“Mereka yang ‘tidak gembira’, saya tidak tahu siapa kerana mereka tidak pernah menunjukkan rasa ‘tidak gembira’ (tidak berpuas hati) kepada saya,” katanya selepas sidang media Pembangunan Topside Projek Pulau Pinang Selatan (PSI) di Kompleks Tun Abdul Razak, hari ini.

Kon Yeow, yang juga ADUN Padang Kota menyifatkan laporan itu sesuatu yang baharu buat dirinya.

“Saya pun tak tahu apa yang dilaporkan. Ini memang berita baru kepada saya.

Tapi, saya akan jawab. (Cuma) bukan hari ini (kerana) saya pun tak baca. Kalau tak baca, nak jawab tak adil jugalah,” katanya.

Ditanya sama ada Guan Eng boleh kembali dilantik sebagai Ketua Menteri selepas pindaan Perlembagaan Pulau Pinang pada 2018, beliau berkata, berdasarkan Perlembagaan Pulau Pinang, Yang di-Pertua Negeri akan melantik seorang Ketua Menteri yang mendapat sokongan majoriti selepas tamat pilihan raya.

“Tetapi pada 2018, ada pindaan dengan memasukkan satu sub frasa baharu yang menyatakan Yang di-Pertua Negeri perlu melantik tetapi orang yang dilantik itu tidak boleh dilantik jika pada bila-bila masa pernah berkhidmat sebagai Ketua Menteri untuk dua penggal.

“Itu pindaan perlembagaan yang dibawa dan diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN). Itu saya boleh jawab sebab itu satu pengetahuan awam,” katanya.

Untuk rekod, Guan Eng, yang juga ADUN Air Putih selama tiga penggal pernah menjadi Ketua Menteri selama dua penggal dari 2008 hingga 2018.

Menjawab persoalan mengenai harapan beliau pada PRN, termasuk dilantik semula sebagai Ketua Menteri, Kon Yeow berkata, harapan beliau ketika ini adalah untuk membawa PH memenangi PRN terlebih dahulu.

Related posts

Leave a Comment