SPRM kosongkan MACA, 45 dipindah

KUALA LUMPUR 25 April – Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) mengosongkan seluruh akademinya dan memindahkan 45 orang susulan tanah runtuh di pintu masuk utamanya tengah hari ini.

Menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), angka itu membabitkan 22 pegawai, 16 pekerja pembersihan dan tujuh penghuni kuarters.

“Pengosongan itu dibuat atas nasihat pihak bomba dan akan berterusan sehingga kawasan terbabit diisytiharkan selamat.

“Ketika ini, pihak MACA turut bersedia dengan arahan lanjut pihak berkuasa serta akan membuat pemakluman dari semasa ke semasa,” kata satu kenyataan, malam ini.

Sehubungan itu, MACA memohon orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi dan memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kejadian tanah runtuh itu.

Kira-kira pukul 1 tengah hari, tanah runtuh dilapor berlaku berdekatan bangunan MACA milik SPRM di Persiaran Tunku Syed Sirajuddin, di sini.

Kejadian dikatakan berpunca takungan air susulan hujan lebat sejak beberapa hari lalu serta paip bawah tanah yang pecah, turut menyebabkan pondok keselamatan di bangunan berkenaan runtuh.

Komander Operasi Kanan Bomba Kuala Lumpur, E Yogeswaran berkata, pihaknya yang menerima laporan kejadian menggerakkan sebuah jentera dengan kekuatan lapan anggota ke lokasi kejadian.

(Foto Bomba KL)

Related posts

Leave a Comment