Agihan kerusi PN selesai 90 peratus

MARANG 24 April – Agihan kerusi dalam Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) sudah selesai kira-kira 85 hingga 90 peratus, kata

Naib Presiden Pas, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Beliau berkata persetujuan itu dicapai selepas rundingan diadakan antara kepimpinan Pas, Bersatu dan Gerakan yang mengambil kira pelbagai faktor termasuk ‘status quo’, jentera di satu-satu tempat dan calon berpotensi.

Menteri Besar itu berkata, setakat ini hanya tinggal satu atau dua kerusi di setiap negeri yang keputusannya perlu dibuat kepimpinan tertinggi parti.

“Paling penting apabila kita bincang dengan rakan Bersatu dan Gerakan , prioriti utama ialah hendak memaksimumkan kemenangan sama ada atas nama Pas atau PN di negeri yang bertanding menggunakan lambang PN dan lambang Pas,” katanya

Beliau sebelum itu hadir Program Tarik Pukat Raya 2023 di Pantai Pulau Kekabu, di sini, hari ini.

Ahmad Samsuri berkata, selepas seminggu sambutan Aidilfitri, pihaknya dijangka mengadakan perbincangan semula mengenai baki kerusi yang masih belum diputuskan.

Katanya, Terengganu akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum tempoh tamat hari terakhir pada Jun ini dan tarikh itu tidak jauh berbeza dengan Kelantan.

“Mungkin Terengganu akan bubar selepas Kelantan, kita sudah bersedia dengan jentera di seluruh Terengganu bermula dari tahun lalu ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15),” katanya.

Mengenai penggunaan lambang parti, beliau berkata, Kelantan dan Terengganu akan menggunakan lambang Pas, manakala empat negeri lagi akan menggunakan lambang PN seperti pada PRU Ke-15 tahun lalu.

Related posts

Leave a Comment