COPENHAGEN: Agensi Alam Sekitar Eropah (EEA) mendedahkan pencemaran udara terus menjadi punca lebih 1,200 kematian pramatang setahun yang direkodkan dalam golongan berumur bawah 18 tahun di seluruh Eropah.
Selain itu, menurut agensi itu, ia turut meningkatkan risiko penyakit kronik pada kemudian hari.
Meskipun ada penambahbaikan sejak kebelakangan ini, pencemar udara utama di banyak negara Eropah masih melepasi paras ditetapkan dalam garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), terutama di tengah-timur Eropah dan Itali.
Perkara itu ditekankan EEA selepas kajian dilakukan di lebih 30 negara, termasuk 27 negara anggota EU.
Bagaimanapun, laporan itu tidak membabitkan negara perindustrian utama seperti Rusia , Ukraine dan United Kingdom (UK), justeru jumlah kematian terbabit berkemungkinan lebih tinggi di benua ini
November lalu, EEA mengumumkan 238,000 kematian pramatang akibat pencemaran udara pada 2020 di EU berserta Iceland, Liechtenstein, Norway, Switzerland dan Turkiye.
Menurut agensi itu walaupun angka kematian pramatang dalam kumpulan umur ini masih rendah berbanding jumlah populasi Eropah yang dianggarkan EEA setiap tahun, kematian pada awal usia menyumbang kepada kehilangan potensi masa depan serta turut membawa beban penyakit kronik dalam kehidupan zaman kanak-kanak dan kemudian hari.
Justeru EEA menggesa pihak berkuasa supaya menumpukan usaha untuk mempertingkat kualiti udara di kawasan sekitar sekolah, pusat asuhan, kemudahan sukan dan hab pengangkutan massa.
Laporan itu menyebut selepas eseorang dilahirkan, pencemaran udara ambien meningkatkan risiko beberapa masalah kesihatan, termasuk asma, mengurangkan fungsi paru-paru, jangkitan pernafasan dan alahan.
Kualiti udara yang teruk juga boleh memburukkan lagi keadaan kronik seperti asma yang dialami sembilan peratus kanak-kanak dan remaja di Eropah, selain meningkatkan risiko beberapa penyakit kronik pada usia dewasa.
Berdasarkan perangkaan dikeluarkan, hari ini, kira-kira 97 peratus penduduk bandar pada 2021 terdedah kepada udara yang tidak memenuhi saranan WHO.
Tahun lalu, EEA memaklumkan, EU berada di landasan betul untuk mencapai sasarannya ke arah mengurangkan kematian pramatang sebanyak 50 peratus menjelang 2030 berbanding pada 2005.
Pada awal 1990-an, zarah halus menyebabkan hampir sejuta kematian pramatang setahun di 27 negara anggota EU. Bagaimanapun, ia menurun kepada 431,000 pada 2005.
Namun, keadaan di Eropah dilihat lebih baik berbanding kebanyakan tempat lain di bumi, menurut WHO yang menggariskan pencemaran udara sebagai punca kira-kira tujuh juta kematian di seluruh dunia setiap tahun – angka hampir menyamai kematian akibat tabiat merokok atau diet tidak sihat.
Beberapa ratus ribu kematian berkenaan membabitkan golongan berumur bawah 15 tahun.
