ALOR SETAR 23 April- Rumah Terbuka Malaysia Madani bersama Perdana Menteri di enam negeri yang bakal berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) merupakan program kempen pilihan raya, kata Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Sambil menyifatkan ia tidak wajar diadakan, Sanusi berkata, program itu akan membabitkan kos yang tinggi, sedangkan Kerajaan Persekutuan sebelum ini menggalakkan langkah penjimatan dibuat semua pihak.
Beliau berkata, jamuan rumah terbuka Aidilfitri untuk rakyat itu sewajarnya diadakan di satu saja lokasi iaitu Seri Perdana yang juga kediaman rasmi Perdana Menteri atau di sekitar Putrajaya seperti kelaziman sebelum ini.
“Ini program kempen pilihan raya bukan rumah terbuka tetapi ambil kesempatan daripada Aidilfitri, apa program sesuai nak buat kempen? Maka buat rumah terbuka.
Kita bukan nak halang buat rumah terbuka kepada orang ramai tetapi sebagai kerajaan yang cakap tentang langkah jimat cermat, tak payah buat program besar-besar, itu bertentangan dengan diri mereka sendiri,” katanya selepas menghadiri Program Ramah Mesra Aidilfitri Mahasiswa bersama Menteri Besar Kedah di Dewan Sri Mentaloon di sini hari ini.
Sanusi berkata, pembabitan beberapa kementerian kerajaan dalam penganjuran program terbabit juga tidak sepatutnya berlaku.
“Enam negeri ini saya sudah maklum lama guna kementerian seperti di Kedah, Kementerian Dalam Negeri (KDN) terlibat.
“Kenapa guna kementerian untuk rumah terbuka, kementerian pun tidak ada bajet khusus untuk buat rumah terbuka,” katanya.
Walaupun sebelum ini penganjuran Rumah Terbuka Malaysia MADANI itu dinafikan bermotif politik, namun Sanusi menegaskan, orang ramai boleh menilai sendiri tindakan menganjurkan majlis berkenaan.
“Semua tindakan politik ini pergi pada peti undi. Rakyat akan nilai hang (kamu) guna dana kerajaan, dana kementerian buat program kempen pilihan raya untuk parti hang, itu tak betul,” katanya.
Sanusi berkata, beliau tiada kuasa untuk menghalang rumah terbuka itu diadakan di Kedah, malah akan turut hadir bersama.
“Saya tidak ada kuasa nak halang, lagipun bagus untuk rakyat Kedah pi makan. Saya tak tau ada jemputan atau tak, tapi itu rumah terbuka, jemput atau tak saya akan hadir sebagai orang Kedah,” sinisnya.
