Rumah Terbuka di 6 negeri bakal adakan PRN

 

KUALA LUMPUR 23 April – Enam negeri yang akan melangsungkan Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi akan menjadi tuan rumah siri rumah terbuka sempena Aidilfitri anjuran Perdana Menteri bersama Jemaah Menteri.

Dinamakan sebagai Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani, majlis itu akan diadakan di Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu serta Selangor.

Orang ramai dijemput hadir memeriahkan siri rumah terbuka itu pada tarikh-tarikh yang ditetapkan di lokasi terlibat.

Menurut kenyataan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, siri rumah terbuka itu akan bermula di Hotel Raia, Alor Setar, Kedah, pada 29 April bermula pukul 10 pagi hingga 2 petang.

Ini diikuti Universiti Teknologi Mara (UiTM) Permatang Pauh, Pulau Pinang (11 pagi hingga 2 petang 6 Mei); Dewan Majlis Bandaraya Seremban, Negeri Sembilan ( 11 pagi hingga 2 petang 7 Mei).

Seterusnya di pekarangan Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu, Kelantan dari pukul 7 malam hingga 10.30 malam 12 Mei depan; Dewan Al-Muktafi Billah Shah, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kuala Terengganu, Terengganu (7 malam hingga 10.30 malam 13 Mei).

Lokasi terakhir adalah Kawasan Komersial Fasa 3, Taman Sri Gombak, Selangor (8 malam hingga 11 malam 14 Mei).

Related posts

Leave a Comment