Majlis Mengadap dan Berziarah Hari Raya

BANDAR SERI BEGAWAN 23 April : Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah berangkat bersama umat Islam dan rakyat Baginda di negara ini bagi menunaikan solat sunat  Hari Raya Aidilfitri di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, di sini semalam.

 Turut berangkat paduka-paduka anakanda, Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Pengiran Muda ‘Abdul Malik; dan Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

Solat diimamkan oleh Dato Paduka Seri Setia Awang Salim Besar manakala, Khutbah Hari Raya Aidilfitri disampaikan oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Dato Seri Paduka Mohammad Tashim Hassan.

Dalam khutbahnya antara lain menjelaskan bahawa Aidilfitri sangat wajar disambut selayaknya dengan penuh kegembiraan dalam suasana keimanan yang kukuh.

Katanya, dalam suasana menyambut Aidilfitri, ziarah menziarahi pada sepanjang bulan Syawal merupakan kebiasaan dan ia diharuskan kerana menziarahi dan memuliakan tetamu adalah suatu yang dianjurkan dalam Islam.

“Dalam kita ziarah menziarahi di Aidilfitri ini, perkara utama yang kita lakukan adalah bermaaf-maafan. Mohon maaf zahir dan batin. Itulah perkataan yang sering kita ucapkan dan dengar apabila berkunjung ke rumah saudara-mara, jiran dan sahabat handai.

Betapa indahnya Islam memberikan kesempatan kepada umatnya untuk saling bermaafan,” katanya.

Sementara itu, selesai solat Aidilfitri, Sultan Brunei hadir pada Majlis Mengadap dan Berziarah Hari Raya melibatkan para pembesar negara dan diplomat yang berlangsung di Istana Nurul Iman, di sini.

Pada majlis berkenaan, para tetamu yang hadir juga disajikan dengan pelbagai aneka juadah Hari Raya, yang sudah setentunya menambahkan lagi rasa kesyukuran dan kemeriahan menyambut hari kemenangan umat Islam berkenaan.

Related posts

Leave a Comment