KUMPULAN Houthi didakwa terlibat dalam merancang dan melaksanakan serangan dron pada awal minggu ini ke atas sebuah stesen pengagihan tenaga elektrik di bandar Madinah, Arab Saudi.
Jurucakap pakatan diketuai Arab Saudi di Yaman Mejar Jeneral Turki al-Maliki berkata serangan berkenaan menyasarkan stesen pengagihan tenaga elektrik Taibah pada 5.11 pagi waktu tempatan, Selasa.
Menurut Al-Maliki, semakan operasi dan pemeriksaan terhadap serpihan dron itu mengesahkan penglibatan Houthi dalam merancang dan melaksanakan tindakan yang disifatkannya sebagai “tindakan pengganas yang pengecut”.
Katanya , serangan ke atas kemudahan yang membekalkan elektrik kepada Masjid Nabawi di Madinah itu menyebabkan satu transformer tidak dapat beroperasi, namun tidak menjejaskan grid elektrik.
Beliau menuduh Houthi sengaja menyasarkan infrastruktur awam dan cuba mencetuskan provokasi terhadap umat Islam dengan menyasarkan kota suci Makkah dan Madinah.
Al-Maliki berkata pakatan itu akan terus mengambil langkah bagi menghalang serangan Houthi serta melindungi dua masjid suci dan pengunjung.
Sementara itu Houthi menafikan penglibatan mereka dalam serangan itu.
Sumber tentera di Kementerian Pertahanan yang dikendalikan Houthi memberitahu agensi berita Saba yang bersekutu dengan kumpulan itu bahawa tuduhan Arab Saudi bahawa kumpulan berkenaan menyasarkan sebuah stesen janakuasa di Madinah adalah “tidak berasas”.
Houthi bagaimanapun mengaku bertanggungjawab terhadap beberapa serangan lain di Arab Saudi baru-baru ini, termasuk serangan yang menyasarkan kemudahan Saudi Aramco dan lokasi ketenteraan.
