Sivakumar patut bercuti tugas menteri

KUALA LUMPUR 23 April – Ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Hassan Abdul Karim menyarankan Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar bercuti dari tugasnya sehingga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) selesai menjalankan siasatan terhadap beliau.

Hassan yang juga Ahli Parlimen (PH-Pasir Gudang) berkata, tindakan itu menunjukan teladan positif selaras dengan agenda Pakatan Harapan (PH) untuk membasmi rasuah.

“Yang Berhormat Menteri tentu lebih faham mengenai prinsip ‘tanggungjawab kolektif’ dan ‘tanggungjawab menteri’ dalam fungsi kerja Jemaah Menteri atau kabinet Kerajaan Persekutuan.

“Jangan tunggu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengarahkan supaya menteri yang terpalit kementeriannya dengan rasuah supaya bercuti ataupun meletakkan jawatan.

Setiap menteri harus ada tanggungjawabnya sendiri untuk menjaga nama baik kerajaan pimpinan Perdana Menteri yang amat jelas sedang melakukan tindakan untuk membanteras amalan rasuah dalam jentera kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, SPRM menggeledah pejabat dan kediaman Sivakumar bagi melengkapkan siasatan berhubung dakwaan menerima wang bernilai jutaan ringgit menerusi orang tengah sebagai jaminan meneruskan kontrak kerajaan terhadap individu tertentu.

Difahamkan, penggeledahan terbabit bagi menjejaki wang yang didakwa diperoleh Sivakumar.

Penggeledahan itu dilakukan SPRM sebaik sahaja keterangan menteri itu diambil pada hari sama bagi mendapatkan bukti.

Pada 14 April lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan, Setiausaha Sulit kepada Sivakumar ditahan.

Sementara itu, Anwar memberitahu bahawa penahanan beberapa pegawai Sivakumar adalah keputusan SPRM untuk bertindak terhadap sesiapa sahaja jika ada asasnya.

Dalam pada itu, Hassan mengingatkan Sivakumar “ Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga,”

Katanya, setakat ini Menteri Sumber Manusia bukannya suspek, bukannya orang yang dituduh.

“Tetapi fakta dua kali dipanggil untuk disiasat oleh SPRM dan rumah serta pejabat dilawati oleh SPRM bukanlah sesuatu yang molek bagi wajah anggota kabinet kerajaan yang dikenali sekarang sebagai Kerajaan Madani.

“Saya percaya YB Menteri mempunyai jiwa yang besar dan punya hati nurani yang jernih dan mulia. Sebagai seorang ahli parlimen dan pemimpin politik yang berpengalaman adalah terhormat bagi YB V Sivakumar mengambil tindakan yang tepat.

“Saya tidak mendesak atau menyeru beliau meletakkan jawatan sekarang. Sekurangnya eloklah pada waktu ini beliau bercuti dahulu dari tugas sebagai seorang menteri,” katanya.

Related posts

Leave a Comment