PRN : Persiapan Pas Kelantan di tahap maksimum

TUMPAT 23 April – Pas sudah membuat persiapan pada tahap maksimum untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) termasuk senarai calon sedang dipertimbangkan untuk keputusan akhir, kata Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohd Amar Nik Abdullah.

Bagaimanapun katanyq, tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) belum diputuskan dan akan diumumkan nanti oleh Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob.

“Di Kelantan kalau ikut Menteri Besar, dua minggu sebelum akhir Jun. Beliau ada sebut dalam mesyuarat, DUN di Kelantan akan tamat tempoh pada 28 Jun depan, justeru kemungkinan (pengumuman pembubaran DUN) dua minggu lebih awal.

Jika semua enam negeri bubar DUN pada Jun depan, kita menjangka PRN pada Julai kerana dari segi pertimbangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), buat serentak dapat mengelak kos lebih besar.

“Persiapan sudah maksimum, cuma calon belum diputuskan secara muktamad lagi tetapi sudah ada senarai yang dicadangkan dan diangkat kepada Menteri Besar’,” katanya ketika pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediaman Menteri Besar Kelantan di Kampung Alor Pasir, Wakaf Bharu, di sini, hari ini.

Mohd Amar yang juga Naib Presiden Pas memaklumkan buat masa ini, nama berada dalam senarai mereka adalah calon daripada Pas manakala nama calon daripada Bersatu belum diperoleh memandangkan keputusan dibuat oleh parti berkenaan.

Beliau berkata, setakat perbincangan peringkat awal antara Pas dengan Bersatu , agihan kerusi masih kekal dengan ‘status quo’.

“(Agihan) kerusinya kalau mengikut asas setakat ini, hasil daripada perbincangan awal, kita mengekalkan ‘status quo’ seperti peringkat Parlimen baru-baru ini.

“Mana-mana kerusi yang dimenangi UMNO, kita beri kepada Bersatu (untuk ditandingi), manakala kerusi Pas, memang kekal Pas. Setakat ini, itulah asas perpaduannya… selepas ini, kita tidak tahu,” katanya.

Related posts

Leave a Comment