Penerbangan tambahan Hari Raya Aidilfitri

SEPANG 6 April – Syarikat pengangkutan udara turut menyediakan penerbangan tambahan termasuk ke Sabah dan Sarawak bagi menampung jumlah penumpang yang meningkat sempena Hari Raya Aidilfitri, tidak lama lagi.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke, berkata, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) juga sudah membentangkan penambahan penerbangan itu dalam Mesyuarat Jemaah Menteri, semalam.

Katanya, banyak penerbangan tambahan telah diluluskan dan jumlah penerbangan tambahan itu akan diumumkan tidak lama lagi manakala harga tetap untuk penerbangan seperti diumumkan sebelum ini, turut dilaksanakan.

Beliau berkata, Malaysia Airlines juga akan menggunakan pesawat ‘wide body’ (pesawat lebih besar) untuk penerbangan balik ke Sabah dan Sarawak.

“Jadi, kapasiti penerbangan akan bertambah. Kapasiti tempat duduk akan bertambah. Apabila kapasiti bertambah, sudah tentu harga purata itu akan menurun. Jadi, itu pendekatan yang kita guna pakai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Program Tenaga Diperbaharui Express Rail Link Sdn Bhd (ERL), di sini hari ini.

Sebelum ini, beberapa syarikat penerbangan tambang murah sudah mengumumkan kadar tambang rendah sempena Aidilfitri.

AirAsia menawarkan penerbangan tambahan istimewa pada tambang rendah tetap di antara Semenanjung dan Sabah dan Sarawak bermula 19 April hingga 30 April 2023.

Harga tiket dari Kuala Lumpur ke Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri, serta dari Johor Bahru ke Kuching, Sibu dan Miri hanya RM199 sehala, manakala dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau, serta Johor Bahru ke Kota Kinabalu pada RM249 sehala.

Sebanyak 124 penerbangan tambahan istimewa pada tambang rendah tetap ditawarkan AirAsia sempena Aidilfitri manakala Batik Air menyediakan lebih 10,000 tiket tambahan tanpa kenaikan harga bagi penerbangan ke Sabah dan Sarawak.

Related posts

Leave a Comment