Kedaulatan negara tidak boleh dikompromi

KUALA LUMPUR 6 April – Kawasan cari gali Petronas yang dirujuk oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini adalah dalam wilayah Malaysia dan tidak boleh dirundingkan walaupun dituntut oleh negara China.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Malaysia mesti tegas mempertahankan kedaulatan wilayah dan keselamatan negara bagi melindungi hak dan tuntutan wilayah negara.

Katanya kenyataan Perdana Menteri tentang keterbukaan Malaysia untuk berunding ke atas hak wilayahnya telah mengundang risiko ancaman kedaulatan negara.

“Kenyataan Perdana Menteri yang dibuat di Parlimen ini adalah amat lemah, amat tidak bertanggungjawab dan kelihatan seperti menggadai maruah dan kedaulatan negara kepada kuasa asing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhyiddin merujuk kenyataan Anwar dalam sidang Dewan Rakyat pada 4 April lalu yang memaklumkan bahawa terdapat tuntutan bertindih di Laut China Selatan “terutama kebimbangan negara China kerana Petronas telah menjalankan satu kegiatan besar-besaran di satu kawasan yang juga dituntut oleh negara China”.

Anwar menambah, “kalau negara China merasakan ini hak mereka, kita boleh buka untuk rundingan.”

Menurut Muhyiddin, kenyataan ini adalah cuai dan tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang Perdana Menteri kerana Implikasi kenyataan ini secara tidak langsung telah memperakui tuntutan negara China terhadap kawasan yang sudah sah merupakan wilayah Malaysia yang mesti dipertahankan.

Beliau juga merujuk satu lagi kenyataan Anwar di Dewan Rakyat: iaitu “…tentang kehadiran kapal dan sebagainya, itu diterangkan oleh negara China. Itu perairan antarabangsa. Akan tetapi pihak kementerian luar akan terus memantau dan sekiranya ada pelanggaran, akan mengeluarkan bantahan.”

Muhyiddin berkata, dalam soal kehadiran kapal tentera laut China di kawasan perairan yang turut dituntut oleh tujuh negara termasuk Malaysia tetapi didakwa oleh China sebagai perairan antarabangsa, Perdana Menteri sepatutnya tegas mempertahankan kedaulatan wilayah negara seperti yang termaktub dalam peta Malaysia 1979.

Katanya, sehingga kini, kawasan pertikaian di Laut China Selatan masih belum diputuskan dan ASEAN juga tidak mencapai konsensus mengenai pertindihan tuntutan di Laut China Selatan.

“Perlu diingat bahawa ASEAN menolak pengiktirafan 9 Dash Line yang dituntut oleh negara China, termasuk dalam wilayah perairan Malaysia.

Berkenaan pertindihan tuntutan, sebarang perbincangan mesti dibuat selaras dengan Konsensus ASEAN dan South China Sea Code of Conduct,”,katanya.

Muhyiddin menegaskan sementara Malaysia mengiktiraf negara China sebagai kuasa ekonomi global, kedaulatan negara tidak boleh dikompromi sama sesekali.

“Mengambil kira kedudukan ASEAN sebagai gabungan sepuluh buah negara, Malaysia mestilah menangani isu maritim antarabangsa secara lebih berwaspada berpandukan prinsip kedaulatan negara dan Gagasan ASEAN,” katanya.

Related posts

Leave a Comment