TANJONG 6 April – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan melawat Bazar Ramadan Tanjong Tokong di sini, hari ini.
Dengan memandu sendiri kenderaan rasmi, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah tiba di bazar itu pukul 4 petang,.
Baginda berdua ditemani tiga anakanda, Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah serta Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah.
Ketibaan Seri Paduka berdua disambut dan diiringi kenamaan utama negeri, diketuai Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan barisan exco kerajaan negeri.
Sebaik tiba, Tunku Azizah berkenan mengacau seketika bubur lambuk sebelum baginda dan Al Sultan Abdullah mengagihkan hidangan itu kepada orang ramai.
Seri Paduka berdua juga berkenan membeli juadah berbuka puasa antaranya kuih serabai, qasidah, pasembor, nasi berani, kari kambing, nasi tomato, telur masak kurma, pulut udang dan rebung masak lemak.
Baginda berdua turut meluangkan masa beramah mesra dan berswafoto bersama peniaga dan orang ramai
Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong adalah dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke Pulau Pinang .
Esok Yang di-Pertuan Agong dijadual merasmikan Masjid Jamek Ar Rahmani Kampung Banggol, Kepala Batas dan menunaikan solat Jumaat bersama penduduk kampung di masjid itu.
Raja Permaisuri Agong pula dijadualkan merasmikan Kompleks Darul Hanan, Pongsu Seribu, Kepala Batas.
Pada petang Jumaat, Seri Paduka Baginda berdua dijadual berangkat ke Majlis Nuzul al-Quran Kerajaan Pulau Pinang dan berbuka puasa di Masjid Negeri.
Pada Sabtu, Al-Sultan Abdullah dijadualkan berangkat ke Majlis Pengurniaan Watikah Pelantikan Ahli Majlis Agama Islam negeri Pulau Pinang dan Hakim Syarie di Hotel Rasa Sayang sebelum berangkat pulang.
