Rauf sasar sifar pembangkang di Melaka

AYER KEROH 6 April –  Ketua Menteri,  Ab Rauf Yusoh menyasarkan kerajaan negeri pimpinannya sifar pembangkang menjelang pembentangan Enakmen Anti Lompat Parti di negeri itu, yang dijadual diadakan pada Jun ini.

Justeru harapannya menjelang Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Jun ini, kedua-dua wakil rakyat pembangkang yang mewakili Perikatan Nasional (PN) dapat menyertai Kerajaan Perpaduan yang sudah dibentuk ketika ini.

Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) itu adalah, Dr Yadzil Yaakub (Bemban) dan  Dr Mohd Aleef Yusof (Sungai Udang).

“Kita hanya tinggal dua orang pembangkang (dan) saya sasar sebelum Enakmen Anti Lompat Parti dibentangkan, negeri Melaka akan ‘zero’ pembangkang.

“Saya harap mereka mahu ‘menyeberangi jambatan’ menyertai kami (Kerajaan Perpaduan) sebelum kita bentangkan enakmen itu dan kalau itu berjaya, sayalah manusia paling bahagia di Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap selepas Majlis Berbuka Bersama Media di Hotel Ames, di sini malam ini.

Yang turut hadir, Speaker DUN,  Ibrahim Durum dan Pengerusi Kelab Pengamal Media Melaka (PENDIKA), Amir Mamat.

Melaka mempunyai 28 kerusi DUN dan daripada jumlah itu, 21 dimenangi Barisan Nasional (BN), lima Pakatan Harapan (PH) dan dua PN.

Mengulas lanjut Ab Rauf yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata, semua ADUN blok kerajaan akan diangkat menganggotai barisan pentadbiran kerajaan negeri menerusi pelantikan mereka sebagai Timbalan Exco.

“Sekarang kita dah ada 26 kerusi ADUN kerajaan, kita (BN) menang 21 kerusi, lima daripada blok Pakatan Harapan (PH) iaitu empat DAP dan satu Amanah (jadi) macam mana mereka nak lawan,” katanya.

Setakat ini ,  tujuh negeri menguatkuasakan undang-undang lompat parti iaitu Selangor, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Negeri Sembilan, Kelantan dan Sarawak.

Related posts

Leave a Comment