Tujuh juta bekerja dari rumah

PUTRAJAYA 22 Mei – Dianggarkan tujuh juta pekerja dari sektor awam dan swasta akan bekerja dari rumah dan tidak akan ke pejabat atau premis tempat mereka bekerja mulai 25 Mei ini, kata Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob.

Selain 80 peratus atau 750,000 penjawat awam yang akan bekerja dari rumah, kerajaan turut memutuskan 40 peratus pekerja di sektor swasta juga akan berbuat demikian manakala 60 peratus atau 6.1 juta bekerja dari rumah.

Beliau berkata, sekatan-sekatan yang diumumkan kerajaan itu merupakan penambahan kepada prosedur operasi standard (SOP) yang berkuat kuasa pada 12 Mei lalu bagi memastikan pergerakan dapat dikurangkan.

Dalam sidang media bersama Ketua Pengarah Kesihatan,  Dr Noor Hisham Abdullah hari ini, Ismail Sabri berkata, arahan bekerja dari rumah itu juga akan dilaksanakan di semua negeri di Semenanjung Malaysia termasuk Wilayah Persekutuan Labuan.

Dalam masa sama, beliau berkata, kapasiti pengangkutan awam akan dihadkan kepada 50 peratus penumpang sahaja sementara operasi perniagaan pula dihadkan sehingga pukul 8 malam.

Jelasnya, kerajaan juga meletakkan tanggungjawab kepada pihak swasta untuk memastikan penularan tidak merebak dengan mewajibkan semakan status MySejahtera ke atas semua pekerja/ pengunjung sebelum memasuki premis masing-masing.

Pihak swasta, tegas Ismail Sabri juga, perlu mewajibkan had jumlah pengunjung ke premis seperti pasar raya dan kedai serta pemeriksaan premis kerajaan dan swasta secara agresif oleh pihak agensi penguat kuasa.

“Pemeriksaan secara bersepadu (akan diadakan) bagi meningkatkan keberkesanan dalam penguatkuasaan. Semua agensi penguat kuasa yang mempunyai kuasa kompaun perlu melaksanakan pemantauan pematuhan SOP di tempat-tempat awam atau tempat yang berkaitan dengan tugas mereka.

“Mempertingkatkan pengoperasian ops pada hari bercuti atau hujung minggu oleh agensi bukan keselamatan tidak tertumpu pada hari bekerja sahaja selain SOP lebih lanjut bagi semua sektor ekonomi akan diumumkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa & Industri (MITI),” jelasnya.

Tambah Ismail Sabri, kerajaan juga akan menggunakan sistem pengecaman lokasi panas untuk libat urus dinamik (HIDE) bagi mengenal pasti kawasan-kawasan yang berisiko tinggi seperti pusat membeli belah dan kawasan perkilangan.

Tegasnya, setelah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membuat penilaian risiko dan libat urus, kawasan yang didapati masih berisiko tinggi akan ditutup serta-merta.

Related posts

Leave a Comment