Tanah Rizab Melayu merosot di Kedah, KL, Perak

KUALA LUMPUR 29 Mac – Semua negeri di Semenanjung mencatat peningkatan Tanah Rizab Melayu di antara 2021 dan 2022 kecuali Kedah, Kuala Lumpur dan Perak, kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Katanya, Kedah mencatatkan penurunan daripada 721,888.93 hektar kepada 716,537.28 hektar, Kuala Lumpur 1,003.56 hektar kepada 999.48 hektar dan Perak, 953,042.67 hektar kepada 953,040.87 hektar.

Beliau berkata keluasan pewartaan Tanah Rizab Melayu di Semenanjung meningkat sebanyak 0.67 peratus sepanjang tahun lalu.

Menurut beliau lagi, sehingga Disember tahun lalu, keluasan pewartaan Tanah Rizab Melayu adalah 4,966,406.42 hektar berbanding 4,963,190.8 hektar yang direkodkan pada tahun 2021.

Katanya, selaras Perkara 89 Perlembagaan Persekutuan yang melindungi Tanah Simpanan Melayu, keluasannya perlu dipastikan tidak berkurangan apabila berlaku pembatalan.

“Pihak berkuasa negeri hendaklah menggantikan keluasan kawasan yang dibatalkan dengan tanah lain yang sama jenis dan luasnya sebagai Tanah Simpanan Melayu,” katanya ketika menjawab soalan Dr Ismail Abd Muttalib (PN-Maran) berhubung jumlah keluasan asal Tanah Rizab Melayu mengikut negeri.

Nik Nazmi berkata, pendekatan yang diambil oleh kerajaan negeri adalah ganti sama luas atau dilihat daripada nilai strategik bagi penggantian Tanah Rizab Melayu.

Menjawab soalan tambahan Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju) sama ada kerajaan bercadang memperkasakan undang-undang untuk melidungi Tanah Rizab Melayu pada masa akan datang, beliau berkata, perkara itu akan dikaji di peringkat kerajaan.

“Kerajaan akan melihat mekanisme terbaik untuk memastikan Tanah Rizab Melayu di Kuala Lumpur dapat dipertahankan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment